Adakah anda merancang untuk menjalankan bisnes homestay? Atau anda mungkin dah lama menjalankan bisnes ini, namun anda nak refresh balik ilmu-ilmu bisnes yang berkaitan dengan bisnes ini.
Saya tulis artikel ini untuk anda.
Sebenarnya saya ada beberapa tips menjalankan bisnes homestay yang nak dikongsikan kepada anda. In Shaa Allah kalau anda sudi luangkan sedikit masa untuk baca perkongsian ini, akan ada beberapa perkara yang boleh dimanfaatkan.
Tips menganalisa pasaran
(1) Memilih lokasi yang strategik
Faktor lokasi yang strategik merupakan salah satu faktor penting dalam memastikan kejayaan bisnes jenis tempat penginapan. Sebelum anda terus terjun dalam bisnes ini, adalah lebih baik anda kenalpasti terlebih dahulu, adakah unit rumah yang bakal anda jadikan sebagai homestay itu nanti terletak dalam lokasi yang strategik.
Persoalannya ialah, bagaimana kita katakan bahawa unit kediaman kita itu berada dalam lokasi yang strategik mahupun tidak? Adakah terdapat ciri-ciri atau petanda yang kita dapat jadikan rujukan bagi mengetahui sama ada homestay kita itu berada dalam kawasan yang strategik mahupun tidak.
Jawapannya sudah tentu ada. Kita lihat kepada poin-poin berikut
1. Terdapat kawasan tarikan pelancong
Tetamu yang akan kita dapat adalah terdiri daripada mereka yang ingin bercuti dan meluangkan masa dengan yang tersayang. Kebiasaannya, mereka akan datang pada cuti hujung minggu, cuti sekolah dan juga cuti umum.
2. Ada kawasan perindustrian dan juga bangunan pejabat
Kita mensasarkan tetamu yang datang menginap atas urusan kerja. Untuk tetamu seperti ini, kita perlu pastikan bahawa homestay kita work friendly. Ada meja untuk bekerja, sambungan wifi yang pantas dan sebagainya.
3. Ada kolej, universiti, sekolah berasrama penuh dan lain-lain pusat pengajian
Tetamu kita adalah terdiri daripada ibubapa yang ingin melawat anak-anak yang masih belajar.
4. Berdekatan dengan hospital
Tetamu kita adalah terdiri daripada ahli keluarga dan juga waris yang sedang mendapatkan rawatan dihospital.
5. Berdekatan dengan lapangan terbang
Tetamu yang datang dari jauh, boleh menginap dihomestay anda untuk satu atau beberapa malam sebelum meneruskan urusan. Tetamu yang ingin bercuti ke Kundasang, Sabah misalnya akan menginap satu malam di Kota Kinabalu sebelum meneruskan perjalanan ke Kundasang.
Ataupun, tetamu yang ingin bercuti ke Semporna Sabah, akan menginap satu malam di Tawau terlebih dahulu, sebelum meneruskan perjalanan.
6. Tak jauh dengan lebuhraya
Untuk mereka yang sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi yang agak jauh menggunakan lebuhraya, mereka boleh datang singgah menginap dihomestay anda untuk satu malam sebelum kembali meneruskan pemanduan.
7. Terdapat dewan orang ramai
Dewan orang ramai selalunya menjadi tempat tumpuan acara atau majlis seperti kenduri kahwin. Saudara yang tinggal jauh, atau ahli keluarga pengantin boleh menginap di homestay berdekatan sepanjang majlis diadakan.
8. Ada restoran, shopping mall. perkhidmatan dobi dan lain-lain kedai serbaneka
Terdapatnya restoran, shopping mall dan lain-lain adalah bagi memudahkan penginap mendapatkan perkhidmatan yang berkaitan. Jika terlalu jauh, mereka pasti akan menyewa di tempat lain yang lebih dekat.
Adakah kawasan yang bakal anda jalankan bisnes homestay ini nanti, mempunyai 8 point yang telah saya highlight? Jika jawapan anda adalah ya, ini bermakna permintaan terhadap homestay pasti wujud. Anda hanya perlu pastikan anda mampu memberikan khidmat yang terbaik kepada bakal pelanggan anda.
Jom teruskan pembacaan untuk tips seterusnya.
Tips menganalisa peluang dan persaingan
(2) Kenalpasti pesaing
Persaingan merupakan satu lumrah dalam dunia perniagaan. Adakah wujud perniagaan tanpa persaingan? Mungkin ada, jika perniagaan tersebut mengamalkan dasar monopoli. Tiada individu, syarikat mahupun entiti lain yang dibenarkan untuk menjalankan bisnes yang sama.
Namun ini bukan perkara yang mudah. Ia memerlukan satu kuasa yang cukup besar bagi menghalang orang lain untuk turut menjalankan bisnes yang sama.
Walaubagaimanapun, wujudnya pesaing bukanlah bermakna ianya perkara yang tak bagus. Malahan, dari perspektif lain, kita boleh katakan bisnes itu merupakan satu bisnes yang bagus memandangkan ada banyak orang lain yang turut masuk dalam bisnes tersebut.
Jangan takut dengan persaingan, selagi mana anda yakin anda mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik. Tapi kalau matlamat anda adalah sekadar nak buat duit, tanpa mengambil serius aspek memberi khidmat terbaik kepada bakal pelanggan, maka dalam keadaan ini, anda memang patut risau dengan kewujudan pesaing.
Bagaimana cara untuk mengetahui berapa banyak pesaing yang ada disekitar anda?
Saya ingin berikan anda beberapa idea.
Pertama, gunakan laman web Google Map (https://www.google.com.my/maps/)
Anda masukkan kata kunci homestay + nama tempat dimana anda ingin jalankan bisnes homestay anda. Sebagai contoh, kita ingin mengetahui berapa banyak homestay yang terdapat di Kota Kinabalu.
Jadi, kita buat carian menggunakan kata kunci “Homestay Kota Kinabalu”. Berikut adalah hasil carian menggunakan laman web Google Map.
Fokus dekat bahagian peta. Semua yang bertanda MYR itu adalah homestay dan tempat penginapan lain, yang terdapat dilokasi tersebut.
Ya, dekat Kota Kinabalu ini memang ada terlalu banyak tempat penginapan, sama ada jenis homestay, hostel, motel mahupun hotel. Ini merupakan kawasan yang strategik untuk dijalankan bisnes sedemikian, sebabnya ia terletak dikawasan percutian, terdapat pusat pengajian, ada banyak bangunan pejabat, berdekatan dengan lapangan terbang, dan banyak lagi.
Mereka yang ingin bercuti ke Kundasang juga akan turun di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dulu barulah mereka akan bergerak menuju ke Kundasang. Cara pertama ini, kita akan gunakan Google untuk melihat berapa banyak pesaing yang ada.
Cara kedua adalah dengan menggunakan laman web Airbnb.
Kita gunakan kaedah yang lebih kurang sama dengan yang pertama cuma kali ini kita gunakan Airbnb. Layari laman web Airbnb dan seterusnya masukkan nama tempat yang kita ingin lihat, sebagai contoh Kota Kinabalu.
Berikut adalah hasilnya.
Hasil carian menunjukkan terdapat banyak homestay di Kota Kinabalu.
Ada beberapa kelebihan yang boleh anda perolehi apabila membuat kajian persaingan melalui cara ini. Antaranya
1. Anda boleh lihat rating yang diberikan terhadap setiap homestay yang tersenarai.
2. Anda boleh lihat susun atur dan gambar-gambar diruangan dalam homestay.
3. Boleh baca review yang ditinggalkan oleh tetamu yang pernah menginap dihomestay tersebut.
4. Anda boleh lihat, berapa banyak tetamu yang pernah menginap di unit tersebut dengan merujuk kepada nombor didalam kurungan.
Katakanlah anda tertarik untuk mengetahui, apakah yang membuatkan homestay dibawah ini menerima sehingga 174 review dari tetamu terdahulu.
Anda klik sahaja pada listing tersebut dan bacalah apa yang dikatakan oleh tetamu terdahulu.
Adakah mereka pilih homestay ini sebab
1. Ianya murah berbanding pesaing?
2. Tempatnya di lokasi yang sangat strategik dan walking distant dengan tempat tarikan pengunjung?
3. Tempatnya kemas dan bersih
Atau mungkin ada sebab lain?
Apabila anda tahu, apakah yang dilakukan oleh pesaing, ini memberikan anda idea, apakah yang perlu dilakukan supaya anda juga dapat memberikan saingan yang baik kepada mereka. Jika anda boleh berikan yang lebih baik berbanding pesaing anda, tak mustahil untuk pelanggan memilih homestay anda.
Tips pemasaran dan pengiklanan bisnes homestay
(3) Kenalpasti siapakah sebenarnya pelanggan ideal anda
Setiap perniagaan perlu mempunyai ideal customer mereka yang tersendiri. Memang betul, setiap bisnes boleh berurusan dengan mana-mana pelanggan yang perlukan perkhidmatan tersebut. Namun, jika anda jelas dengan ideal customer anda, anda akan dapat memberikan khidmat yang terbaik.
Konsep ideal customer ini sebenarnya memang cukup banyak dibincangkan dalam mana-mana buku mahupun seminar berkaitan perniagaan. Adakalanya, ia tak dipanggil dengan istilah ideal customer, sebaliknya digunakan istilah seperti customer avatar ataupun buyer persona. Walaupun penggunaan nama yang berbeza, namun dari segi konsep ia merujuk kepada perkara yang sama.
Kenapa perlu ada ideal customer?
Realitinya kita tak akan mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Walau kita usaha dengan kuat, pasti akan ada individu yang tak berpuas hati dengan usaha kita. Begitu juga dalam kehidupan. Mustahil untuk kita puaskan hati semua orang.
Jadi, apa yang perlu kita lakukan?
Jawapannya ialah, kita pilih satu kelompok individu untuk kita fokuskan dan berikan khidmat terbaik kepada mereka.
Rujuk balik 8 poin yang saya kongsikan sebelum ini, dibawah topik memilih lokasi yang strategik. Daripada 8 poin tersebut, boleh jadi anda ingin target pelanggan dari kategori yang memerlukan homestay kerana ingin melawat anak-anak yang sedang belajar.
Seterusnya, kita buat brainstorming, apakah keperluan bagi parent yang ingin melawat anak-anak? Jom kita senaraikan.
1. Tempat bermalam yang selesa
2. Ada kelengkapan dan peralatan yang cukup untuk menyediakan makanan.
3. Setiap bilik dilengkapi dengan aircond.
4. Dekorasi yang simple namun tetap menarik.
Dari segi mindset, individu yang dalam mood bercuti tak sama dengan individu yang dalam mood untuk melawat anak-anak. Mereka yang dalam mood bercuti, tak kisah untuk berbelanja lebih untuk menginap di tempat yang selesa dan eksklusif, namun berbeza dengan mereka yang sekadar ingin melawat anak-anak.
Mereka yang tujuannya nak melawat mungkin akan berbuat demikian beberapa kali dalam sebulan, inginkan keselesaan dan lebih cenderung untuk memilih tempat yang lebih murah.
Kalau anda tersilap target ideal customer, contohnya apabila anda hias homestay anda dengan dekorasi yang eksklusif, lengkap dengan perabot yang mahal-mahal dan anda menetapkan harga yang agak tinggi, mereka yang sekadar memerlukan tempat bermalam mungkin tak sanggup nak bayar lebih untuk menginap di tempat anda.
(4) Jual pengalaman manis!
Jual pengalaman manis menginap di tempat anda, dan bukannya sekadar menjual tempat untuk bermalam.
Kalau sekadar tempat untuk bermalam, saya berpendapat ia merupakan satu perkara yang biasa-biasa. Namun, bagaimana cara untuk kita jadikan penginapan ini sebagai satu pengalaman yang luar biasa?
Saya ada satu soalan untuk anda. Bila kali terakhir anda melihat pemandangan di langit pada waktu malam yang penuh dengan bintang?
Kalau saya… erm saya pun dah tak ingat. Bila agaknya saya lihat pemandangan seumpama ini. Langit malam kat tempat saya tinggal sekarang ini pun cukup sukar nak tengok kerlipan bintang, walaupun cuma satu.
Tapi kalau tempat anda, cukup senang untuk lihat pemandangan seumpama ini, apa kata anda berikan penekanan dalam iklan anda. Contohnya anda tulis, menginap di homestay kami anda boleh nikmati pemandangan berjuta bintang bertaburan di langit pada waktu malam. Jangan cuma tulis sahaja, berikan sekali bukti.
Begitu juga halnya kalau homestay anda
1. Mengadap kawasan laut (beach view)
2. Mengadap kawasan pergunungan
3. Ada sungai
Apa yang penting disini ialah, kita nak bakal tetamu tahu, dengan menginap di homestay anda, mereka ini akan dapat satu pengalaman yang tak akan dapat ditempat lain.
(5) Gunakan Google untuk dapatkan pelanggan
Laman web google merupakan salah satu sumber yang kita boleh harapkan untuk dapat tetamu yang menginap di homestay milik kita. Terdapat beberapa kaedah untuk dapatkan tetamu melalui laman google. Saya akan ceritakan secara ringkas sahaja.
(1) Bina Google Business Profile
Ini merupakan salah satu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google. Menerusi fungsi ini, anda boleh membina laman profile untuk perniagaan homestay anda.
Cara nak buat Google Business Profile untuk perniagaan homestay milik anda?
Senang sahaja.
Layari laman web Google, dan search “Google Business Profile”.
Ataupun boleh ke pautan https://www.google.com/intl/en_my/business/
(Alamat url diatas mungkin akan berubah, justeru saya syorkan anda guna sahaja fungsi search)
Paparan seperti dibawah akan kelihatan.
Klik sahaja pada butang Manage Now dan ikuti langkah-langkah yang diperlukan. Isikan maklumat yang akan ditanya oleh pihak Google.
Bawah ini merupakan contoh business profile yang dihasilkan oleh pemilik bisnes homestay yang saya temui di google.
Ianya memang sangat simple namun cukup dengan semua maklumat yang diperlukan oleh bakal tetamu. Tetamu yang menjumpai profil ini boleh bertanyakan soalan secara terbuka dan mereka yang pernah menginap disini pula boleh menulis review.
(2) Bina laman web untuk homestay anda
Jangan berhenti setakat membina Google Business Profile. Setelah siap profil anda, anda bina pula laman web khas untuk perniagaan homestay anda.
Anda boleh bina laman web yang canggih, lengkap dengan sistem borang tempahan, sistem payment processor dan sebagainya, ATAU anda juga boleh bina laman web yang lebih simple, menggunakan perisian seperti blogspot (percuma), wordpress.com (juga percuma) atau bina website sendiri menggunakan sistem wordpress self hosted (perlu bayar langganan domain dan hosting).
Tak tahu nak buat? Jangan jadikan ini sebagai penghalang! Cari orang yang tahu buat. Bayar khidmat dia jika perlu bayar, atau ambil masa untuk belajar sendiri.
(3) Hasilkan konten sama ada artikel ataupun video
Kita namakan kaedah ini sebagai content marketing. Apa yang anda perlu lakukan ialah hasilkan konten sama ada dalam bentuk artikel ataupun dalam bentuk video, kemudian dalam konten tersebut, anda selitkan dengan marketing material untuk mempromosikan bisnes homestay anda.
Kebiasaannya konten dalam bentuk artikel, akan muncul dalam laman carian google, apabila ada pengguna yang mencari maklumat untuk kata kunci tertentu.
Manakala konten dalam bentuk video pula akan muncul jika video tersebut anda muat naik di Youtube.
Sama seperti sebelum ini, jika anda rasakan tak ada kemampuan untuk menulis artikel, (atau menghasilkan konten dalam bentuk video) serahkan atau outsource tugas tersebut kepada orang lain yang ada kemahiran.
Baca juga: 7 Tugasan yang pemilik bisnes boleh outsource untuk melancarkan perjalanan bisnes
(4) Iklan berbayar melalui Google Ads
Seterusnya adalah iklan berbayar melalui Google Adwords.
Biasanya pemilik bisnes akan menggunakan kaedah ini untuk dapatkan pelanggan secepat yang boleh. Memandangkan ini adalah iklan berbayar, anda perlu pastikan kos iklan yang anda keluarkan masih dapat memberi untung.
(6) Kerjasama dengan syarikat Online Travel Agent (OTA) untuk dapatkan lebih ramai pelanggan
Ada tiga yang boleh kita fokuskan, iaitu
1. Airbnb
2. Agoda
3. Booking.com
Airbnb adalah sebuah laman web yang cukup popular untuk mencari tempat penginapan jenis homestay atau guesthouse. Pihak Airbnb juga ada mewujudkan program menjadi host dan peserta boleh menjana pendapatan yang agak lumayan.
Boleh lihat contoh dibawah.
Saya sendiri boleh jana pendapatan RM1,754 setiap bulan jika menjalankan bisnes homestay di area Subang Jaya. Jumlah ini adalah satu anggaran sahaja.
Anda boleh lihat sendiri, berapa anggaran pendapatan yang anda bakal perolehi jika menjalankan bisnes homestay ditempat anda dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak Airbnb. Sila ke halaman ini untuk membuat semakkan.
Dah buat semakkan? Bagaimana? Adakah ianya berbaloi?
Kalau anda rasa kurang berbaloi, jangan khuatir sebab anda masih ada opsyen lain, iaitu Agoda dan juga Booking.com
Layari Agoda.com dan cari butang “list your place”.
Selain itu boleh juga guna Booking.com dan cari butang List your property
Setiap servis OTA ini mempunyai terma dan syarat yang berbeza. Saya tak akan tulis secara terperinci disini. Jika anda minat untuk belajar strategi mendapatkan tempahan menerusi laman web online travel agent ini, saya syorkan anda muat turun panduan ini.
(7) Iklan di media sosial
Pengiklanan di media sosial juga adalah satu langkah marketing yang penting, bagi membantu anda mendapatkan pelanggan.
Cara untuk menggunakan media sosial juga tidaklah begitu complicated. Anda hanya perlu bina fanpage atas nama homestay anda. Lihat pada contoh screenshot diatas.
Mereka ini membina fanpage untuk bisnes homestay yang mereka jalankan. Kalau anda tak jelas, apa yang perlu dilakukan, boleh lihat contoh-contoh sedia ada. Dapatkan idea dari situ, dan tiru sahaja strategi yang mereka lakukan.
(8) Iklan di mudah.my
Satu lagi platform untuk anda iklankan bisnes homestay anda.
Gunakan laman web mudah.my
Tips menetapkan harga sewa
Dalam strategi penetapan harga ini, lazimnya pihak pengendali menetapkan strategi yang berbeza. Antaranya adalah
1. Strategi meletakkan harga rendah namun mensasarkan bilangan tempahan yang tinggi
2. Meletakkan harga yang agak premium dan hanya menetapkan sekurang-kurang 10 malam sahaja dalam tempoh sebulan.
Ya, dua strategi yang berbeza namun matlamatnya adalah SAMA. Untuk jana keuntungan!
(9) Siapkan homestay anda dengan kelengkapan
Apa yang membezakan antara menginap di homestay dengan menginap di hotel? Ada banyak perbezaan. Memandangkan artikel ini adalah mengenai bisnes homestay, saya ingin highlight point yang berkaitan dengan bisnes ini sahaja.
Mereka yang memilih untuk menginap di homestay, mempunyai expectation seperti berikut
1. Homestay tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 2 atau 3 buah bilik.
2. Setiap bilik dilengkapi dengan aircond.
3. Mempunyai dapur yang berfungsi dan boleh masak.
4. Tuan rumah menyediakan semua kelengkapan dan peralatan untuk memasak.
5. Ada microwave dan juga pinggan yang compatible digunakan dengan microwave tersebut.
6. Ada ruang makan dan meja makan yang besar
7. Ada ruang tamu yang luas
8. Ada pemanas air
Sekiranya anda mampu untuk memenuhi expectation bakal tetamu, maka anda telah bersedia untuk menjalankan bisnes ini.
(10) Hias homestay anda dengan dekorasi yang menarik
Faktor dekorasi dan persembahan homestay ini juga memainkan peranan yang penting, dalam memastikan tetamu bersedia untuk memilih homestay anda.
Cuba anda luangkan sedikit masa untuk layari laman web Airbnb dan lihat host yang mempunyai status Superhost serta yang banyak menerima tempahan. Anda pasti akan dapati, homestay milik mereka sangat cantik dari segi dekorasi, dan boleh dikatakan setanding dengan hotel.
Bandingkan pula dengan homestay anda. Saya harap homestay anda juga tak kurang hebatnya. Anda boleh dapatkan banyak idea-idea untuk dekorasi homestay anda melalui laman web ini.
Ataupun sebagai alternatif, anda boleh baca banyak laman web sama ada dalam mahupun luar negara yang fokus kepada topik dekorasi.
Tips menguruskan pelanggan
(11) Melayan pertanyaan bakal pelanggan
Jadikan satu SOP untuk menjawab setiap pertanyaan bakal tetamu dengan pantas. Jika boleh, jawab dalam masa 5 minit atau kurang, apabila menerima pertanyaan.
Biasanya tetamu akan cuba hubungi kita, sama ada melalui whatsapp, ataupun melalui sistem messaging media sosial, ataupun melalui Airbnb. Jawab sepantas yang mungkin, atau jika tidak, anda mungkin akan terlepas pelanggan ini kepada pesaing anda.
Pelanggan yang menghubungi kita ini biasanya mempunyai latar belakang dan keperluan yang berbeza. Mungkin ada yang perlukan tempat menginap dengan segera dan pada hari yang sama. Misalnya, masa untuk check in adalah jam 3 petang. Namun, bakal pelanggan ini hubungi anda pada jam 6.00 petang dan ingin buat booking pada hari yang sama.
Pelanggan seperti ini perlukan tempat menginap dengan segera dan mungkin tak ada masa nak buat perbandingan. Jadi, siapa yang cepat memberikan respon, itulah yang dia akan pilih.
(12) Menyambut ketibaan bakal pelanggan (proses check in)
Apa perlu buat ketika tetamu datang untuk masuk ke rumah?
Kebiasaannya hanyalah untuk serah kunci sahaja. Ke ada benda lain yang perlu dibuat?
Saya tak rasa begitu. Tuan rumah tak perlupun nak berceramah dan memberikan taklimat tentang peraturan dalam rumah, apa yang boleh apa yang tak boleh, serta meminta duit deposit, sebab semua urusan ini boleh dilakukan secara whatsapp sahaja.
Kalau cuma untuk serah kunci, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk buat kaedah self check in sahaja.
Pengalaman saya menginap di beberapa homestay yang berbeza, ada banyak pemilik homestay yang mula menggunakan kaedah self check in. Mereka akan menggunakan lock box seperti diatas dengan kunci bernombor.
Pada saya secara peribadi, kaedah self check in ini sangat mudah dan saya boleh masuk pada bila-bila masa, tanpa perlu menunggu kehadiran tuan rumah untuk menyerahkan kunci. Boleh dapatkan lock box seperti diatas disini.
(13) Proses check out
Proses check out pun sama. Tetamu tak perlu susah payah nak pergi ke mana-mana kaunter untuk jumpa anda atau wakil anda. Kalau anda mengamalkan kaedah self check in, boleh minta tetamu untuk kunci semua pintu dan tinggalkan kunci rumah ditempat yang sama dia ambil kunci.
(14) Meminta deposit keselamatan
Jika anda menggunakan perkhidmatan Airbnb untuk mendapatkan tempahan, pihak Airbnb sebenarnya tak membenarkan anda memungut duit deposit, diluar daripada sistem Airbnb bagi mengelakkan berlakunya penipuan. Kalau tetap nak collect duit deposit, perlu dimasukkan dalam bil tempahan.
Walaubagaimanapun, lazimnya kalau kita buat tempahan melalui Airbnb, memang tiada duit deposit akan diminta. Boleh jadi sebab pihak Airbnb telah memberikan jaminan dalam bentuk insurans kepada pemilik homestay.
Bila ada jaminan seperti itu, rasanya kalau tak perlu minta bayaran deposit daripada tetamu pun tak ada masalah.
Tips mengembangkan bisnes homestay
(15) Buka unit homestay baru
Apabila anda sudah mula mendapat rentak dan selalu terlepas pelanggan disebabkan homestay sedia ada telahpun penuh, maka disini adalah petanda bahawa anda patut membuka cawangan baru.
Anda ada pilihan sama ada membeli unit rumah yang baru, ataupun menggunakan kaedah sublet. Kaedah sublet ini adalah merujuk kepada anda menyewa rumah daripada pemilik rumah lain, kemudian anda hias rumah tersebut dan sewakan semula.
Tips menjana pendapatan tambahan selain dari bisnes homestay
(16) Tawarkan pakej aktiviti
Pakej aktiviti ini adalah seperti
1. Aktiviti Island Hopping
2. Pakej snorkeling
3. Trip memancing
4. Trip Jungle trekking dan hikking
5. Tiket masuk ke mana-mana tempat rekreasi
Atau apa-apa aktiviti yang mungkin sesuai untuk dijalankan. Anda tak perlu nak lakukan sendiri. Dalam keadaan ini, anda boleh bekerjasama dengan individu lain yang menjalankan bisnes ini. Anda hanya bantu uruskan tempahan dan dapatkan keuntungan dalam bentuk komisen.
(17) Menu sarapan pagi
Kebiasaannya menu sarapan pagi ini hanya disediakan apabila kita menginap di hotel. Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, saya perasan, ada hotel yang sudah tak menyediakan sarapan pagi sebagai complimentary kepada pengunjung, sebaliknya pengunjung perlu bayar berasingan sebagai “add-on” jika memerlukan sarapan pagi.
Justeru, pemilik bisnes homestay, mungkin boleh praktikkan perkara yang lebih kurang sama. Jika ada pengunjung yang mahukan set sarapan pagi, mereka boleh buat bayaran tambahan dan ini sedikit sebanyak akan jadi pendapatan tambahan kepada pemilik bisnes.
Kesimpulan
Terima kasih saya ucapkan atas kesudian anda membaca sehingga ke baris ini. Saya harapkan semoga apa yang saya kongsikan disini ada yang berguna untuk anda.
Sebelum anda nak ikuti mana-mana tips yang saya kongsikan disini, saya syorkan anda kaji dan nilaikan dulu baik atau buruknya. Boleh jadi ada tips yang langsung tak kena dan tak relevan dengan situasi dan perniagaan anda. Almaklumlah, nama pun tips, kan. Sudah tentu akan ada yang kurang sesuai.
Apa pun, saya doakan semoga perniagaan homestay anda berjaya. Jika anda merasakan apa yang saya kongsikan disini masih belum cukup, saya amat mengesyorkan anda luaskan lagi pembacaan dan belajar seberapa banyak yang boleh mengenai bisnes homestay ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.