Permainan Pokemon Go di fatwakan sebagai haram? Semasa permainan ini baru mula-mula sampai ke Malaysia dan boleh dimainkan, saya ada dengar berita dari beberapa sumber yang mengatakan Pokemon Go ni haram!
Pada mulanya, berita yang saya dengar adalah (kononnya) bersumberkan daripada mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang antara paling awal mengeluarkan fatwa mengatakan Pokemon Go ini adalah haram.
Walaubagaimanapun, tak lama lepas tu, menerusi laman web http://www.islam.gov.my, dengan kemaskini terakhir yang dicatatkan adalah pada 07 Ogos 2016, pihak mufti menegaskan bahawa berita yang disebarkan menerusi media alternatif adalah tidak tepat.
Ianya dikatakan berlaku kerana terjadinya manipulasi tajuk oleh media alternatif atas talian yang sewenang-wenangnya meletakkan kesimpulan tanpa kajian yang mendalam.
FATWA MUFTI WILAYAH POKEMON GO HARAM? BENARKAH SEPERTI YANG TERSIAR DI BEBERAPA MEDIA ALTERNATIF?
1. Pihak kami (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan) amat kesal dengan salahguna tajuk berkenaan fatwa Pokemon Go oleh beberapa media alternatif atas talian (online) yang sewenang-wenangnya meletakkan kesimpulan tanpa kajian mendalam. Manipulasi tajuk yang dibuat sedemikian memberikan imej yang negatif kepada institusi mufti dan kefatwaan dan imej agamawan Muslim keseluruhannya di mata umat Islam dan juga saudara-saudara non Muslim yang kita kasihi.
2. Jika diteliti dalam fatwa yang dikeluarkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, SS Mufti sama sekali tidak menggunakan istilah ‘Haram’. Apa yang jelas, beliau menggunakan kalimah-kalimah yang menzahirkan KECENDERUNGAN beliau ke arah pengharamannya iaitu “PERLU DIJAUHKAN permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.” Sebab utama SS Mufti tidak menggunakan istilah ‘Haram’ kerana ia bukan sesuatu yang qat’ie iaitu ada hukumnya dalam Qur’an dan Sunnah.
3. Kaedah sebegini adalah antara manhaj (metodologi) Imam al-Syafie dalam mengeluarkan hukum/fatwa. Sebagai contoh, Imam al-Syafie adakalanya dalam satu-satu hukum menyatakan ‘akrah’ (aku benci) atau kadangkala beliau kata ‘lam uhibb’ (aku tidak suka). Beliau tidak menggunakan istilah haram atau harus atau lain-lain istilah secara jelas. Untuk lebih lanjut, rujuk buku:
Zulkifli Mohamad al-Bakri, 2010. Istilah-Istilah Fiqah dan Usul: Empat Mazhab (Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
4. Jika perkataan haram digunakan, ia adakalanya nemberi impak yang negatif dan mungkin kurang sesuai dengan situasi masyarakat kita. Tujuan SS Mufti memilih untuk menggunakan ayat “PERLU DIJAUHKAN permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.” adalah bagi menggambarkan bahawa beliau AMAT TIDAK GEMAR permainan Pokemon Go ini dimainkan atas beberapa hujah yang telah dinyatakan di sini [http://www.muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1116-bayan-linnas-siri-66-integriti-data-peribadi-dan-kesihatan-pemain-selamatkah-pokemon-go]
5. Justeru, kami menyeru kepada seluruh masyarakat untuk menyelidik terlebih dahulu akan berita-berita yang didengari atau didapati di media sosial. Bertakwalah kepada Allah dan ingatlah pesanannya dalam Surah al-Hujurat: 6. Boleh baca Bayan Linnas berkenaan konsep Tabayyun di sini [http://www.muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/294-berita-konsep-tabayyun-dan-penerimaannya]
Itu apa yang terkandung di laman web islam.gov.my yang berbentuk penafian kepada pengharaman permainan Pokemon Go. Namun ia masih lagi tak menjawab persoalan, bagaimana boleh timbul pendapat yang mengatakan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu adalah HARAM.
Fatwa-fatwa berkenaan Pokemon dan Pokemon Go
Pertama: Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Pada tahun 2001, Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa mengharamkan animasi dan permainan Pokemon. Alasan yang beliau nyatakan ialah demi menjaga aqal, akidah dan tingkah laku kanak-kanak, dan juga harta mereka daripada pembaziran, selain mengkritik tindakan ibu bapa yang meredai tindakan anak-anak mereka dalam isu ini. Beliau juga menyatakan bahawa fatwa beliau itu dikeluarkan apabila ramai ibu bapa yang prihatin tentang perkembangan anak-anak mereka mengikut Islam, bertanya beliau tentang hal ini dan sebelum mengeluarkan fatwa, beliau sudah merujuk ramai pakar dan pemikir termasuk penggiat seni budaya dan perfileman. Beliau menunjukkan beberapa sebab bagi beliau sebagai alasan siri animasi dan permainan ini patut diharamkan:
(1) Terdapat risiko bahaya ke atas akidah seseorang Muslim kerana Pokemon terbina di atas teori Darwin yang terkenal dengan idea evolusi, perkembangan dan perubahan organisma mengikut persekitaran dan zaman.
(2) Memberikan bahaya kepada aqal kanak-kanak kerana ia dibina atas khayalan yang tidak dibina atas dasar aqal dan naqli.
(3) Pokemon mengandungi bahaya dalam membentuk peribadi tingkah laku kanak-kanak dan hubungan dengan sekeliling kerana ia bersifat perlawanan dan promosi bahawa hanya yang kuat sahaja yang akan kekal.
(4) Ia membawa kepada pertembungan dan sifat yang keras serta kasar seperti peperangan sentiasa berlangsung.
(5) Boleh membawa kepada perjudian jika ada unsurnya.
Ya, kalau dilihat pada poin-poin yang digariskan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dapat kita perhatikan, golongan yang paling rugi jika terus terdedah dengan siri animasi dan permainan ini adalah golongan kanak-kanak. Pada peringkat pembesaran, seorang kanak-kanak itu patut didedahkan dengan konsep-konsep yang benar mengenai apa yang berlaku di sekeliling mereka dan bukannya dikelirukan dengan ideologi dan teori yang agak mencabar dan sukar untuk dibuktikan kesahihanya.
Teori Darwin hanya sekadar teori dan tiada bukti konkrit yang dapat membuktikan bahawa ianya adalah suatu Fakta
Teori evolusi Darwin hanya dapat dibuktikan dengan jayanya hanya menerusi filem-filem dan juga siri-siri kartun animasi sahaja. In real life, tak ada lagi penemuan yang dapat membuktikan bahawa teori evolusi Darwin benar-benar berlaku.
Adakah manusia sebenarnya berasal dari beruk yang berevolusi kemudiannya menjadi manusia? Sudah pasti saya tak setuju dengan teori ini, kerana saya percaya manusia itu asalnya adalah dari Adam A.S yang diciptakan oleh Allah SWT yang dari Adam diciptakan pula Hawa.
Walaupun realitinya memang agak ramai manusia yang berkelakuan dan berperangai seperti beruk, ataupun terdapat beruk yang mampu untuk melakukan perkara-perkara yang biasa dilakukan oleh manusia, namun ini bukanlah bermakna manusia dan beruk itu sebenarnya adalah dari satu kejadian yang sama.
Tidak.
Lagi satu, dalam teori evolusi juga ada beberapa poin yang agak mengelirukan. Jika manusia berasal dari beruk, mengapa sampai sekarang beruk masih wujud lagi? Bukankah sepatutnya apabila telah melalui evolusi, spesies yang sebelum ini patutnya sudah tak wujud lagi.
Apabila Pikachu berevolusi menjadi Raichu, maka Pikachu tersebut bertukar rupa dan bentuk. Tiada lagi Pikachu. Ia telah sama sekali digantikan dengan spesies yang baru, iaitu Raichu.
Maka, jika kita menerima teori evolusi ala-ala Pokemon ini, maka bolehlah dikatakan jika pada hari ini, kita tangkap seekor beruk dan simpan dia selama bertahun-tahun, akan tiba satu generasi, beruk itu tadi sudah tidak lagi dalam keadaan seekor beruk. Ia akan jadi manusia kerana telah melalui proses evolusi.
Sudah pasti teori ini kedengaran agak mengarut dan langsung tak masuk akal.
(Ia perlu satu kajian yang mendalam!)
Saya berpendapat, masa dan peruntukkan untuk mengkaji teori seperti ini adalah satu bentuk pembaziran sahaja. Lebih baik ia digunakan untuk tujuan lain seperti tujuan pendidikan, perniagaan, dan kajian untuk menghasilkan penemuan terbaru dalam bidang pertanian atau teknologi. Itu lebih baik daripada nak menguji kebenaran teori evolusi Darwin yang meragukan.
Kedua: Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi
Majlis Ulama Tertinggi (Hai’ah Kibar Ulama) Arab Saudi juga mengemukakan fatwa bahawa permainan Pokemon tidak Islamik tetapi tidak menyebut aplikasi mudah alih Pokemon GO. Antara alasan Majlis itu ialah watak-watak raksasa dalam animasi dan permainan itu memliki kuasa tertentu, membawa kepada kekufuran kerana mengikut teori evolusi semulajadi. Begitu juga ia mengandungi elemen polytheism yang menggandakan jumlah dewa-dewa dan seterusnya mampu membawa kepada perjudian.
Ketiga : Universiti al-Azhar
Wakil Syeikhul Azhar Universiti al-Azhar, Syeikh Prof. Dr. Abbas Syuman telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak menggalakkan remaja Muslim bermain Pokemon Go kerana membawa kepada ketagihan. Beliau juga membanding kesan negatif daripada permainan itu dengan tingkah laku orang yang mabuk kerana minum arak. Syeikh Abbas kemudian dalam akaun Facebook rasminya memberitahu bahawa beliau tidak pernah mengharamkan aplikasi mudah alih itu tetapi hanya menekankan kesan buruk ketagihan dan juga risiko pemain terdedah kepada bahaya dan kemalangan sewaktu menangkap Pokemon.
Negara-Negara yang Mencegahnya
Di Arab Saudi, Suruhanjaya Komunikasi, Teknologi dan Informasi Kerajaan Arab Saudi dilaporkan telah mengeluarkan amaran bahawa Pokemon GO dan permainan yang seumpamanya boleh mengancam pemain kerana mendedahkan lokasi pemain kepada pihak-pihak yang mengambil kesempatan. Ini termasuklah ancaman penggodam, pencerobohan ruang peribadi dan ancaman jenayah rompak dan curi.
Pihak berkuasa Kuwait dan Mesir sebelum ini memberi amaran dan ancaman bahawa permainan ini berisiko membawa pemain ke kawasan-kawasan sensitif seperti istana, masjid-masjid, stesen minyak dan pengkalan tentera. Ahmed Badawi, Timbalan Ketua Majlis Komunikasi Kerajaan Mesir, menggesa pihak berkuasa Mesir untuk mengadakan sekatan terhadap permainan Pokemon GO kerana dipercayai boleh mendedahkan bahagian keselamatan negara kepada dunia luar. Manakala, Hamdi Bakheet, ahli Majlis Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negara Mesir pula memberitahu Parlimen Mesir bahawa aplikasi Pokemon GO ialah usaha yang licik pihak luar untuk membuat perisikan dalam masyarakat dan negara Mesir.[1]
Begitu juga pertubuhan imam-imam di Turki menggesa agar pihak berkuasa mengharamkan permainan itu kerana menjejaskan nilai kemurnian dan kesucian tempat-tempat ibadat apabila pemain aplikasi berkenaan memasuki premis masjid semata-mata untuk mencari raksasa maya berkenaan.
Pihak kerajaan Indonesia melarang anggota polis negara itu bermain Pokemon GO ketika menjalankan tugas dan larangan itu bakal dilaksanakan kepada anggota tentera tidak lama lagi.
Jurucakap polis, Boy Rafli Amar, berkata pegawai polis seluruh negara itu telah menerima arahan itu bermula 19 Julai 2016. Pihak kerajaan risau pegawai polis akan menjadi ketagih dan mengganggu tugas pihak polis dalam berkhidmat kepada masyarakat yang dengan konsentrasi dan kerja keras.
Arahan ini juga dikeluarkan susulan kes penangkapan warga Perancis yang menceroboh pengkalan tentera Indonesia yang terletak di Pulau Jawa kerana bermain Pokemon GO. Kes ini menimbulkan kegusaran dan kemungkinan dalam kalangan tokoh pembangunan keselamatan yang menegaskan teknologi tinggi dalam permainan tersebut berpotensi menjadi alat perisikan.
‘Pokemon GO nampak comel, tetapi semakin lama anda melihat, ada sesuatu yang tidak betul padanya,” Kata Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu.[2]
KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN
Pada 1 Ogos 2016 bersamaan 27 Syawal 1437H, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah berbincang dan memutuskan bahawa permainan Pokemon Go dan Pokemon adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam berdasarkan nas dan juga faktor maslahah dan kemudaratan yang berlaku. Justeru, diharap agar masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan tidak terlibat dalam aplikasi permainan tersebut.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.
Atas dasar ini, maka benarlah sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Janganlah seseorang itu melakukan kemudaratan dan mengenakan kemudaratan itu kepada orang lain. (Hadis Riwayat Ahmad)
Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat. Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku, membawa kepada:
(1) Bahaya dari segi pengintipan pihak luar
(2) Pencerobohan ruang peribadi
(3) Faktor keselamatan seperti kemalangan
(4) Kelalaian
(5) Ketagihan melampau terhadap gajet
(6) Kehilangan fokus terhadap realiti sekeliling
(7) Gangguan emosi seperti mudah marah akibat kekalahan.
(8) Membawa kepada akhlak yang buruk
(9) Ancaman kepada pekerjaan dan pelajaran.
Ini selari dengan kaedah Sadd al-Dzari’ah (menutup pintu-pintu menuju kerosakan). Kami syorkan pilihlah bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, dan juga tiada unsur khurafat yang mengarut.
Semoga dengan pencerahan ini, kita diberi kefahaman yang baik dan jelas berkenaan dengan kehidupan ini agar selari dengan neraca Syarak.
Ingatlah kita diciptakan bukan sia-sia tetapi ada asas tujuan da matlamatnya iaitu hamba Allah dan pemegang amanah-Nya di bumi ini sebagai khalifah Allah.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Surah al-Mukminun, 23:115
Kami akhiri dengan berdoa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارزُقنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارزُقنَا اجتِنَابَهُ
Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.
Akhukum fillah,
Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
5 Ogos 2016 M bersamaan 2 Zulkaedah 1437 H
Semoga perkongsian ini dapat beri pencerahan kepada para pencari maklumat yang masih lagi tertanya-tanya, apakah benar Pokemon dan permainan Pokemon Go ini haram dan jika ia haram apakah sebab-sebab dan penjelasannya.
Semoga bermanfaat!