Bagaimana cara saya belajar buat blog?
Saya mula belajar buat blog sekitar tahun 2009. Masa tu saya masih lagi belajar di universiti. Kebetulan waktu tu sedang cuti semester atau dah nak masuk cuti semester. Sambil-sambil online kat cyber cafe, saya terbaca artikel mengenai kisah kejayaan individu dari luar negara yang berjaya untuk jana pendapatan dengan blog.
Saya rasa kisah mereka ni cukup hebat. Mereka bukan selebriti, bukan artis, bukannya pemimpin negara, dan kebanyakkannya adalah orang biasa-biasa. Tetapi, blog mereka cukup hebat dan dikenali.
Walaupun bukan semua penulis blog mampu untuk capai kejayaan seperti yang diceritakan dalam artikel tersebut, namun saya perhatikan, ada ramai penulis blog yang berjaya buat duit. Penanda aras saya mudah sahaja. Kalau anda berjaya buat duit, bermakna anda berjaya sebagai seorang blogger.
Simple je, kan? Ya… ini lah penanda aras yang saya pernah letakkan bagi mengetahui sama ada seseorang itu berjaya atau sebaliknya sebagai seorang penulis blog.
Pada masa tu saya masih lagi seorang student. Sebagai student ni, faham-faham sahajalah, memang tak banyak duit. Mengharap pada duit pinjaman PTPTN yang sampai sekarang ni masih belum habis bayar dan juga sedikit duit belanja yang diberikan oleh keluarga.
Jadi, apabila terbaca ada peluang untuk buat duit secara online, maka saya terus tertarik.
Saya teruskan pembacaan. Dari situ saya dapat tau, dengan adanya blog, kita boleh buat duit dengan program pengiklanan. Ada banyak program pengiklanan yang boleh disertai, dan waktu tu yang popular ialah program Google Adsense dan kalau peringkat local, biasanya kita akan join program pengiklanan Nuffnang.
Blog pertama yang saya buat, adalah menggunakan platform blogspot. Senang je nak buat blog ni sebenarnya. Cuma perlu klik situ klik sini, masukkan nama blog, dah siap. Kalau setakat nak buat blog menggunakan medium blogspot, cuma perlu ada akaun google.
Kemudian saya dapat tahu, kalau nak pergi lebih jauh (dan poyo) kena guna platform berbayar. Kena buat blog guna platform wordpress self hosted. Maksud self hosted ni, kita kena ada nama domain dan juga kena sewa hosting sendiri.
Masalahnya ialah, saya tak tau macam mana nak buat blog guna platform wordpress. Saya rasa, benda ini sangat rumit.
Nak kena beli domain la, kena beli hosting la, lepas tu macam mana pulak nak install blog wordpress tu dekat hosting sendiri? Memang rumit.
Bila saya tau je, ada orang jual panduan belajar buat blog, saya terus kumpul duit dan beli panduan tersebut. Kalau anda nak tau, kat bawah ni la panduan yang saya beli dulu.
Panduan belajar buat blog ini dalam bentuk ebook, Pada waktu tu (sekitar 2009) ini adalah satu-satunya panduan belajar membuat blog dalam bahasa Melayu yang ada dipasaran. Boleh dikatakan, dari panduan ini lah saya belajar macam mana nak jadi pengguna wordpress.
Saya percaya, bukan saya seorang sahaja yang pernah merujuk kepada panduan ini, sebaliknya ada ramai lagi.
Saya masih ingat lagi, waktu tu kalau nak pasang blog wordpress pada hosting kita, caranya sangat leceh dan perlu dilakukan secara manual.
Mula-mula kena download dulu perisian wordpress ke komputer. Kemudian kena beli pakej domain dan hosting. Masa tu saya beli domain dan hosting dari syarikat NetKL Network.
Bila dah ada domain dan hosting, langkah seterusnya ialah upload perisian wordpress ini ke server menggunakan perisian FTP (file transfer protocol) yang bernama filezilla.
Pengalaman paling menyakitkan hati, bila dah tunggu lama untuk upload tiba-tiba sambungan internet terputus. Masa tu internet memang selalu terputus dan slow pulak tu! Masalahnya bila internet terputus, file yang diupload tu pun jadi rosak dan keseluruhannya tak boleh pakai.
Kalau ikut hati memang rasa nak hempas je laptop waktu tu.
Oh kalau tak salah saya, salah satu sebab yang mendorong saya untuk belajar buat blog ialah pada waktu tu saya baru sahaja beli laptop sendiri. Laptop tu untuk kegunaan buat assignment dan sebagainya. Jadi, alang-alang dah ada laptop dan internet sendiri, why not belajar untuk buat duit online sekali.
Lagipun kemudahan tu memang dah ada dalam tangan.
Akhirnya lepas rujuk panduan buat blog tersebut, maka lahirlah blog saya yang pertama menggunakan platform berbayar.
Sayangnya, blog saya yang pertama tu tak bertahan lama. Saya ingat saya cuma simpan blog tu untuk dua atau maksimum tiga tahun sahaja. Percubaan pertama untuk jadi blogger tidak begitu berjaya. Silap saya juga sebab saya masih cetek dari segi hal-hal berkaitan dengan bidang penulisan blog.
Kemudian saya tak renew domain dan hosting. Tak lama lepas tu saya semak, nama domain tersebut telah pun dibeli oleh orang lain. Saya tak boleh baca tulisan yang digunakan, sebabnya ia ditulis menggunakan tulisan cina. Mungkin la… saya pun tak tau apa bahasa blog tu.
Penat-penat saya buat bloglinking dan blogwalking selama bertahun-tahun, akhirnya nama domain tu dibeli orang lain. Tak apa lah… masa tu saya memang agak sibuk dengan urusan kerja lain dan agak tawar hati dengan bidang penulisan blog ini.
Satu blog terlepas, namun saya masih ada beberapa lagi blog yang masih aktif.
Pada hari ini, kalau anda nak belajar cara-cara nak pasang blog wordpress pada hosting, anda boleh berbuat demikian dengan mudah. Saya juga ada tulis tutorial bagi tujuan pembelajaran bagi sesiapa yang berminat nak pasang blog sendiri.
Anda boleh baca artikel berikut. Tajuknya ialah Panduan Pemasangan Blog WordPress Self Hosted.
Untuk versi yang lebih terkini, boleh rujuk post yang saya tulis bertajuk Bagaimana cara bina laman web menggunakan sistem wordpress.
Sekarang ni mudah. Dengan adanya aplikasi yang anda boleh dapat secara percuma apabila melanggan perkhidmatan hosting, proses pemasangan blog jadi sangat mudah. Hanya perlu klik klik dah boleh buat blog sendiri.
Susah ke nak belajar membuat blog sendiri?
Ya saya tahu, ada orang gagal pada part pembelajaran lagi. Bila tau nak kena belajar, terus rasa lemah dan terus rasa bidang penulisan blog ni bukan untuk dirinya.
Mungkin ada betulnya. Cuma apa yang saya boleh katakan, kalaulah dulu saya give up dan buat keputusan untuk tak nak belajar macam mana nak buat blog dan jadi penulis blog, mungkin ada banyak benda yang saya lalui sekarang ni, saya tak akan dapat capai langsung.
Itulah serba sedikit pengalaman saya belajar buat blog.
Sebenarnya sampai ke hari ini, saya masih lagi belajar. Proses pembelajaran itu kan proses yang berterusan. Cuma bezanya, pada hari ini, saya lebih fokus untuk belajar macam mana cara nak buat duit dengan blog disamping saya belajar cara untuk hasilkan blog yang lebih baik.
Apapun, saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih buat pembaca dan pelawat blog ini. Tanpa kehadiran anda semua disini, saya rasa apa yang saya buat selama ini seolah-olah tak bermakna.
Ada yang tanya, kalau hari ini nak belajar buat blog secara step by step, panduan belajar buat blog mana yang boleh dirujuk? Hmm… saya syorkan anda rujuk Pakej Video WordPress – Mulakan Bisnes Dengan WordPress ini.
Panduan ini dalam bentuk video. Anda boleh tonton atau download panduan ini menerusi pautan ini.
kisah tuan ada persamaan dgn saya…mula blogging di ipt…masa tu belum kenal lagi ebook tu apa…lani dh paham apa yg perlu buat!
La ni mesti income boleh meroket