Berapa lama masa yang diperlukan untuk menulis dan menyediakan sebuah artikel yang mengandungi 2,000 patah perkataan?
Jawapannya pasti tak sama antara setiap orang.
Dari pengalaman saya sendiri menghasilkan karya penulisan untuk disiarkan dalam blog, saya boleh katakan masa yang diambil adalah berbeza-beza dan ini bergantung kepada beberapa faktor, antaranya
(1) Tahap pengetahuan tentang topik
Ada topik yang memang saya sangat familiar.
Ada topik yang saya pernah tulis berkali-kali dan saya terbitkan artikel tersebut di beberapa blog yang berbeza. Topik penulisan yang memang dalam lingkungan pengetahuan saya, saya boleh siapkan dengan lebih cepat.
Tetapi kalau topik tersebut saya kurang familiar dan ia merupakan kali pertama saya menulis mengenai topik tersebut, biasanya ia akan memakan masa yang lebih lama.
(2) Kelajuan menaip artikel
Skil menaip juga memberi impak kepada masa untuk menyiapkan sesebuah artikel.
Saya masih ingat lagi, saya pernah menaip artikel menggunakan keyboard yang agak keras. Saya rasa agak kurang selesa menaip dan sedikit sebanyak ia menyebabkan saya menaip dengan lebih perlahan.
(3) Penyediaan draf artikel
Lazimnya sebelum saya mula menulis sebarang artikel, saya akan menyediakan draf terlebih dahulu. Draf artikel ini merupakan persediaan awal sebelum saya menyiapkan artikel yang complete.
Pada saya menyediakan draf ini merupakan satu langkah yang penting, bagi menentukan kemana hala tuju artikel yang bakal dihasilkan. Kalau tak ada draf, saya perlu menulis secara spontan dan ia akan memakan masa yang lebih lama berbanding menulis artikel yang telah saya sediakan drafnya dari awal.
Bahaya menulis tanpa draf ini. Kadang-kadang akan rasa blur bila mengadap skrin komputer yang kosong.