Bila kita berpuasa, kita dapat merasai nikmat berpuasa tu selama sebulan penuh.
Walaubagaimanapun, bila kita menyambut hari raya, belum tentu kita dapat nikmati raya selama sebulan penuh juga.
Dari segi kegembiraan dan keseronokkan, saya rasa, berada di bulan Ramadhan itu berkali ganda lagi seronok. Tak kisahlah, sama ada keseronokkan itu, kita nak lihat dari aspek duniawi, mahupun ukhrawi.
Jom kita baca sepotong hadis tentang puasa ini.
“Rasulullah SAW bersabda: ‘Allah SWT berfirman: ‘Segala amalan soleh anak Adam akan dilipatgandakan; satu kebaikkan dilipatgandakan menjadi sepuluh kali ganda, bahkan sampai 700 kali ganda, melainkan puasa, kerna puasa adalah milik-Ku dan hanya Akulah yang akan membalasnya; hal ini kerana seseorang yang berpuasa itu meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku.’
Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka (buka puasa dan Hari Raya Aidilfitri) dan kegembiraan ketika menghadap Tuhannya.
Sesungguhnya bau mulut orang yang sedang berpuasa itu dalam pandangan Allah adalah lebih harum daripada haruman minyak kasturi.
Puasa adalah perisai. Jika seseorang sedang berpuasa, janganlah ia berbuat atau berkata yang tidak senonoh. Jika ada seseorang yang memakinya, hendaklah dia mengatakan: ‘Maaf, aku sedang berpuasa.'”
(riwayat Al-Bukhari no.1894 dan Muslim no.1151 – dari buku berjudul Riyadus Solihin)
Suasana hari raya di Malaysia, banyak cabarannya. Saya tak tau, bagaimana keadaannya kalau di tempat lain. Saya percaya, setiap tempat, ada ceritanya.
Tapi ini cerita di Malaysia. Ini cerita saya. Ianya datang daripada pengalaman saya sendiri.
Cabaran pulang menyambut hari raya
Beberapa hari sebelum raya, kita boleh lihat, keadaan trafik di sekitar Kuala Lumpur dan lembah Klang mulai lancar. Bilangan kenderaan atas jalan raya, nampak ada pengurangan.
Mungkin, kebanyakkan warga kota, dah mula kembali ke kampung halaman. Yes, Kuala Lumpur memang selalu jammed!
Tapi bila tiba musim perayaan, jalan raya yang biasanya sibuk mula lengang. Memang seronok memandu di sekitar KL pada waktu-waktu macam ni.
Tapi, bagi yang nak pulang beraya bersama keluarga di Kampung… ha siap… anda mungkin akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya. Kalau pada hari biasa, perjalanan akan ambil masa 5 jam, tapi kalau pada musim perayaan, ia mungkin akan ambil masa sampai 10 jam.
Benda ni, dah jadi satu kebiasaan. Kalau nak pulang berhari raya, kena rancang perjalanan dengan betul, supaya tak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Tak boleh balik raya pada hari yang sama, dengan orang lain akan balik. Kalau boleh balik kampung lebih awal.
Kalau nak kembali ke KL, pun sama, kena balik lagi awal, kalau anda tak nak stress terperangkap dalam traffic jam.
Kadang-kadang saya terfikir juga, apa kat kampung halaman masing-masing, memang tak ada peluang kerja yang bagus ke? Sampai terpaksa merantau ke ibu kota, menambahkan kesesakan sedia ada.
Cabaran cari tempat makan
Pada hari biasa, saya akan makan di kedai nasi campur atau kedai sea food, yang diuruskan oleh para peniaga dari Pantai Timur, atau dari Utara.
Bila bulan puasa, mereka ni biasanya akan cuti selama sebulan. Entah apa agaknya yang mereka buat, sampai perlu ambik cuti selama sebulan?
Baca juga: Berapa lama nak ambik cuti raya ni…
Memang susah nak cari restoran melayu yang bukak. Mungkin mereka ni masih belum habis beraya. Alang-alang dah sampai ke medan selera, order je apa yang ada. Burger pun burger la… janji dapat alas perut.
Kalau ikutkan memang tak larat, nak hadap makanan kedai mamak je. Bagus kedai mamak ni, diwaktu banyak kedai-kedai makan milik orang melayu masih bercuti, diorang langsung tak ambik cuti.
Saya rasalah kan, mana-mana pemilik bisnes kedai makan, yang masih lagi berniaga macam biasa, ketika orang lain syok je bercuti, dia ada potensi untuk dapat ramai pelanggan pada masa tersebut.
Tapi, kena pastikan servis pantas dan masakan sedaplah. Kalau tak, jangan harap pelanggan yang sama, nak datang lagi ke kedai makan milik anda tu nanti.
Saya ada kedai makan kegemaran saya. Kalau kedai tu bukak, saya memang tak akan pergi ke kedai lain. Saya dah terbiasa dengan masakan dan rasa masakannya memang kena dengan selera saya.
Tapi, kalau sepanjang Syawal ni dia asyik tutup, saya mungkin terpaksa cuba kedai makan yang lain. Kalau sedap, mungkin saya akan selalu datang lagi. Tapi kalau rasanya biasa-biasa, mungkin itu akan jadi kali pertama dan yang terakhir.
Satu hari, semasa saya sedang cari tempat untuk makan malam, terkeluar dari mulut saya.
“Waktu bulan puasa yang confirm kita tak boleh makan, cukup senang nak cari makanan. Tapi bila dah masuk bulan raya, yang kita boleh makan… susah betul nak cari makanan…”
Geram punya pasal.
Akhirnya pencarian saya, terpaksa dihentikan setelah saya pergi ke kedai mamak. Nak buat macam mana… itu je pilihan terbaik yang ada pada masa tu.
Kedai makan milik orang Melayu… masa bulan puasa, mereka biasanya tak berniaga. Bila dah masuk raya, kedai masih tak buka. Itu memang normal ke?