Istilah Rancangan Perniagaan mungkin agak asing bagi sesetengah orang. Akan tetapi, kalau istilah business plan, mungkin ia lebih biasa didengari.
Persoalannya ialah, adakah setiap orang yang menjalankan perniagaan mempunyai business plan tersendiri? Jawapannya hanya ada pada pemilik perniagaan itu sendiri.
Setelah dikaji-kaji, diselidik dan diteliti, saya berpendapat, mempunyai pelan perniagaan atau Kertas Rancangan Perniagaan adalah sesuatu yang sangat penting dalam memastikan perniagaan yang dijalankan atau yang bakal dijalankan dapat diusahakan dengan sebaik mungkin.
Saya nak cerita tentang beberapa kelebihan sekiranya anda mempunyai rancangan perniagaan untuk bisnes anda. Jadi, selepas anda baca apa yang saya kongsikan dalam ini, mungkin anda dapat luangkan sedikit masa untuk menyediakan kertas Rancangan Perniagaan (Business Plan) khusus untuk bisnes anda.
Jangan risau kalau anda tak tau cara macam mana nak sediakan kertas rancangan perniagaan ini. Sebabnya, anda boleh rujuk pada panduan di laman web ini. Untuk mereka yang ingin menyediakan kertas kerja perniagaan atau rancangan perniagaan secara profesional, bolehlah rujuk panduan yang terdapat pada laman web tersebut.
Walaubagaimanapun, anda boleh bina rancangan perniagaan anda secara tidak formal sahaja. Lebih-lebih lagi kalau anda adalah satu-satunya individu yang akan baca dan mengikuti rancangan perniagaan tersebut. Jika anda adalah pemilik tunggal sesebuah perniagaan, dan anda adalah satu-satunya individu yang akan menjalankan perniagaan tersebut, mungkin formaliti bukanlah sesuatu yang terlalu penting untuk anda.
Mari kita lihat apa kepentingan mempunyai kertas kerja perniagaan atau rancangan perniagaan kepada bisnes anda.
(1) Membantu dalam proses membuat keputusan penting
Sebagai pemilik perniagaan, keputusan adalah ditangan anda. Jika anda tidak buat keputusan, orang lain tak akan buat keputusan untuk anda. Setiap keputusan yang dibuat pastinya mempunyai kesannya, sama ada kesan positif ataupun kesan yang negatif.
Katakanlah pada satu hari anda ditawarkan untuk menyertai perniagaan berkonsepkan Multi Level Marketing. Anda lihat marketing plan dan anda dapat rasakan bahawa perniagaan tersebut mempunyai potensi untuk memberi pendapatan tambahan kepada anda. Lagipun anda mempunyai ramai kenalan dan ada ramai pelanggan.
Walaubagaimanapun, anda juga perlu pertimbangkan, apa agaknya reaksi dan pandangan pelanggan-pelanggan anda sekiranya anda menjalankan perniagaan MLM tersebut. Tidak dinafikan, sesetengah orang memang cukup benci dengan perniagaan berbentuk MLM.
Jika anda join MLM, kemudian apa akan jadi dengan pelanggan anda yang memang benci MLM? Adakah dia masih lagi akan menjadi pelanggan anda ataupun dia akan mula menjauhkan diri dari anda.
Sesetengah peluang bukanlah benar-benar peluang… dan tak semua peluang yang muncul didepan anda perlu diambil. Adakalanya sesebuah peluang itu lebih baik dilepaskan sekiranya ia hanya mengundang masalah kepada perniagaan sedia ada anda.
Lagipun, ada banyak bisnes MLM yang hanya indah khabar dari rupa. Tersalah pilih alamat buruk padahnya.
Dalam situasi ini, saya berpendapat adalah lebih baik anda fokus pada perniagaan utama anda, dan buat bisnes tersebut sampai berjaya atau sampai ke peringkat maksimum sebelum sibuk nak cuba buat MLM atau apa-apa bisnes sampingan yang tak ada kena mengena dengan perniagaan utama anda.
(2) Panduan untuk membelanjakan sumber kewangan syarikat dengan berhemah
Sebelum membuat sebarang keputusan untuk melakukan sebarang perbelanjaan, anda boleh buat ujikaji ringkas dengan menjawab soalan mudah seperti
Adakah wang yang bakal dibelanjakan ini akan memberi impak kepada syarikat dan membantu syarikat buat untung atau tidak?
Sesetengah pemilik perniagaan, dia membelanjakan sumber kewangan syarikat dengan sewenang-wenangnya. Alasannya ialah sebagai ganjaran untuk pemilik perniagaan yang selama ini bertungkus lumus memajukan syarikat.
Sepatutnya, dia perlu berhemah dalam berbelanja sebabnya tak semestinya kemewahan yang dirasai sekarang akan kekal sampai bila-bila.
(3) Bersiap sedia dengan sebarang perubahan kepada iklim perniagaan
Seperti yang kita tahu, corak dan persekitaran perniagaan sering berubah. Syarikat yang pada hari ini merupakan syarikat nombor satu yang mendominasi pasaran tertentu, belum tentu akan kekal berada di tempat pertama pada tahun akan datang.
Pasaran akan sentiasa berubah. Akan ada pesaing baru yang memperkenalkan produk baru sebagai alternatif kepada produk yang kita tawarkan. Kalau dulu, kita boleh bermegah bahawa kita yang terbaik, namun semua itu boleh berubah dengan adanya pesaing yang menjalankan perniagaan yang sama dengan kita.
Apa yang perlu dibuat jika ada pesaing cuba masuk ke pasaran yang pada awal-awalnya dikuasai oleh syarikat kita? Jika anda tidak mempunyai rancangan perniagaan, anda mungkin tidak bersedia dari awal dan gagal untuk mengambil tindakan yang betul jika muncul pesaing. Sebaliknya, bagi mereka yang mempunyai rancangan perniagaan, sudah pasti mereka telah siap sedia dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila muncul pesaing dalam perniagaan.
(4) Memahami perniagaan sendiri dengan lebih jelas
Kita akan benar-benar memahami perniagaan kita apabila ianya diuji. Ujian boleh jadi datangnya dari pesaing, pelanggan, pekerja, atau mungkin dari orang awam yang tak ada kena mengena dengan syarikat kita.
Orang ramai mempunyai tanggapan yang berbeza tentang perniagaan yang kita jalankan. Kita fikir kita sedang menjalankan perniagaan peralatan dan perkakasan elektrik, namun mungkin orang ramai beranggapan yang anda sedang menjalankan perniagaan runcit.
Akan tetapi, jika anda mempunyai rancangan dan pelan perniagaan, anda lebih tahu apa yang sebenarnya anda tawarkan. Sekiranya ada dalam kalangan pelanggan atau bakal pelanggan yang meminta anda untuk melakukan sesuatu yang anda tidak tawarkan, anda dapat menolak dengan lebih mudah. Sebab anda tahu, itu bukan perkhidmatan yang anda tawarkan, walaupun anda rasa anda mampu untuk melakukannya.
(5) Memahami kehendak dan keperluan pelanggan dengan lebih baik berbanding pesaing
Pendapatan kita adalah datangnya daripada aktiviti jualan. Jualan pula terhasil daripada pelanggan yang memilih untuk berurus niaga dengan kita berbanding memilih syarikat pesaing.
Sebab itu, salah satu perkara penting yang perlu dikuasai oleh sesebuah perniagaan adalah untuk memahami kehendak dan keperluan pelanggan. Lebih mudah untuk menjual sesuatu yang memang diperlukan oleh pelanggan berbanding menjual sesuatu yang pelanggan tak perlu, tapi kita kena buatkan supaya pelanggan lihat benda itu satu keperluan.
Tapi bagaimana kita boleh tahu apa yang diperlukan oleh bakal pelanggan? Jawapannya adalah dengan melakukan kerja-kerja analisis pasaran dan juga survey.
Data yang diperolehi itu nanti bolehlah dimasukkan dalam rancangan perniagaan dan ia dapat membantu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
(6) Kertas kerja perniagaan sebagai petunjuk jalan
Pernah tak berlaku sepanjang perjalanan anda mengurus bisnes, anda seolah-olah tak tau apa benda yang nak dibuat untuk majukan lagi perniagaan anda. Jualan syarikat kejap naik kejap turun. Ada bulan-bulan tertentu, jualan terus merosot tanpa diketahui apa punca sebenar.
Bila ini berlaku, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan motivasi kita untuk terus menjalankan perniagaan tersebut. Sampai satu tahap, kita rasa keliru, apa sebenarnya yang perlu dilakukan lagi?
Aha… ini mungkin masa terbaik untuk anda belek-belek semula kertas rancangan perniagaan yang pernah anda sediakan sebelum ini. Mungkin ada benda yang anda tak buat atau terlupa buat.
Mungkin anda pernah tulis dalam kertas kerja perniagaan anda tentang persoalan “…. apa yang perlu anda buat sekiranya jualan mula merosot.”
(7) Kenalpasti kelemahan dan potensi perniagaan
Dengan menyediakan rancangan perniagaan, anda sebenarnya dapat mengetahui kelemahan dan juga potensi sesebuah perniagaan walaupun pada waktu itu anda masih belum lagi menjalankan perniagaan tersebut. Sebagai contoh, anda ingin menjalankan perusahaan penternakan kambing.
Kalau orang yang tak tau apa benda sebenarnya kertas rancangan perniagaan ini, dia mungkin akan terus mulakan projek penternakan tersebut tanpa melakukan sebarang perancangan terlebih dahulu.
Duit yang ada, terus digunakan untuk bina kandang, beli baka kambing yang dirasakan sesuai dan sebagainya.
Sebaliknya, untuk mereka yang mempunyai serba sedikit pengetahuan tentang kertas kerja perniagaan, mereka pasti akan mulakan dengan melakukan kerja-kerja analisis untuk mengetahui apa dia kelemahan dan potensi projek penternakan kambing ini terlebih dahulu.
Jangan pulak nanti kambing ada banyak, tapi satu ekor pun tak boleh dijual. Anda boleh klik sini untuk muat turun contoh kertas kerja projek penternakan kambing.
Sebenarnya ini hanya sebahagian sahaja daripada manfaat yang anda bakal perolehi dengan menghasilkan kertas kerja perniagaan anda sendiri. Sebab itu, saya katakan kertas kerja perniagaan ini adalah sangat penting untuk perniagaan anda.
Jika anda menjalankan perniagaan hanya secara online sahaja juga anda perlu dan patut ada kertas kerja dan perancangan perniagaan.