Kadang-kadang saya tertanya-tanya sendiri, adakah orang-orang yang tinggal di rumah flat ni memang ada masalah dari segi sikap dan mentaliti?
Bukan nak menghina atau nak merendah-rendahkan orang yang tinggal kat rumah flat, atau rumah apartment. Kalau saya berniat nak menghina, bermakna, saya juga sedang menghina diri saya sendiri.
Ya, saya juga tinggal dirumah jenis apartment, atau rumah flat. Sebelum saya bercerita dengan lebih jauh, mungkin anda nak luangkan sikit masa untuk baca perkongsian saya yang sebelum ini.
Jom baca: Masalah LAZIM yang sering berlaku di rumah jenis Apartment
Apa yang buatkan mereka berkelukuan seperti mana mereka sekarang ni?
1. Adakah disebabkan oleh masalah persekitaran?
2. Adakah disebabkan cara mereka dibesarkan?
3. Adakah sebab latar belakang pendidikan?
4. Adakah ada kena mengena dengan faktor ekonomi dan pendapatan isi rumah? Pendapatan rendah, maka kelakuan pun tak semengah?
5. Adakah sebab memang dah lumrah, kalau duduk rumah flat, perangai dan perwatakkan mesti buruk jugak?
Saya sedia maklum, penduduk rumah flat ni terdiri dari macam-macam latar belakang.
Ada yang datang dari ceruk kampung.
Ada warga asing yang datang dari negara yang belum membangun.
Ada yang asalnya tinggal dirumah setinggan.
Ada yang kerjanya tidak begitu baik justeru pendapatan juga tak seberapa.
Kenapa saya asyik sebut soal pendapatan? Adakah faktor pendapatan ni memang akan mempengaruhi tahap kecerdikan seseorang tu?
Sekarang ni, masalah paling ketara kat tempat saya tinggal adalah masalah petak parking yang sangat terhad. Pada awal-awal dulu, masalah ni tak begitu ketara, tapi selepas ada projek pembinaan lebuh raya SUKE, masalah ni makin menjadi-jadi.
Projek ni dah ambil sebahagian daripada ruang parking di tempat saya.
Pagar yang mengelilingi apartment ni juga dah diruntuhkan. Asalnya ruang disini lebih lebar berbanding sekarang ni.
Bukanlah saya berniat nak menolak pembangunan. Maklumlah, “kesusahan pada hari ini kan untuk kesenangan di masa akan datang…”
Cuma saya agak kecewa dengan sebahagian penduduk disini.
Ya, saya tengah cerita tentang masalah sikap. Dalam keadaan yang sedia mencabar macam sekarang ni, semua orang perlu amalkan sikap bertoleransi. Itu saya memang setuju.
Bila petak parking makin berkurang, mahu atau tak, memang terpaksa buat double park. Bukan kita saja-saja nak buat double park, tapi kita terpaksa.
Pihak pengurusan ada menyediakan ruang parking tambahan, sebagai solusi kepada masalah parking yang diambil untuk tujuan pembinaan lebuhraya ni… tetapi, parking yang disediakan pun tak cukup.
Saya berpendapat, masalah ini berpunca daripada beberapa perkara.
1. Tak ada had, berapa kereta yang boleh dibawa masuk untuk parking di dalam, bagi setiap rumah. Kalau dalam rumah tu ada 6 orang, dan setiap orang ada kereta sendiri, untuk rumah dia je dah makan 6 petak parking.
Logik ke? Ada rumah yang ada banyak kereta. Ini memang berlaku.
Situasi dia begini. Individu tersebut adalah seorang pemandu teksi misalnya. Dia ada kereta sendiri. Isteri pun ada kereta sendiri. Teksi pun kadang-kadang dia bawa masuk dalam kawasan apartment.
Saya ingat lagi, pernah satu ketika, berbaris-baris teksi parking dalam ruang apartment ni. Tak kurang dari 8 buah teksi. Sekarang bila ruang dah kurang macam ni, tahu pulak nak parking teksi tu kat tempat lain.
2. Ada kenderaan yang rosak dan mungkin pemiliknya dah tak nak kenderaan tersebut. Tetapi, ia tak dialihkan. Rugi beberapa petak parking.
3. Dulu ada sistem, hanya kenderaan yang ada stiker apartment sahaja yang dibenarkan masuk dan parking. Untuk masuk juga ada access card. Sekarang sistem tu dah tak berfungsi. Rasa sia-sia je bayar. Management pun kelihatan dah tak begitu berfungsi.
4. Masalah dengan penduduk yang bengap bila buat double park… Masalah ni memang panjang dan menyusahkan.
- Kalau dah buat double park tu, tinggalkanlah nombor telefon dekat dashboard. Jadi kita boleh call kalau ada masalah nak tolak kereta dia.
- Cubalah alert dengan keadaan sekitar. Kalau dengar bunyi hon yang panjang, tengoklah. Mungkin kereta anda yang mengganggu orang lain.
- Bila dah siang tu, alihlah kenderaan. Masa ni dah ramai yang keluar ke tempat kerja. Mesti ada ruang untuk parking kereta tu elok-elok.
- Double park tu jangan la sampai menyusahkan orang lain. Kena tengok jugak, adakah kereta tu mengganggu laluan?
- Biasanya kita akan sendal tayar kereta dengan batu. Kadang-kadang geram dengan orang yang tak alihkan semula batu tu. Dibiarkan duduk kat tengah-tengah jalan. Masa nak cari batu, boleh mencari sampai ke celah-celah pokok. Bila dah tak perlukan batu tu, apa salahnya alihkan dan clearkan jalan.
Bila sesekali saya berpeluang untuk check in dengan guest house jenis kondominium, terasa amat beza mentaliti manusia yang tinggal disitu.
Terasa kehidupan mereka yang tinggal disitu lebih teratur, tertib dan yang penting lebih beradab. Bukannya jenis yang pentingkan diri sendiri, pengotor, dan tak peka dengan penghuni lain, seperti yang banyak dapat dilihat dekat penghuni rumah flat.
Adakah salah rumah tu? Atau penduduk tu sendiri yang kena berubah dari segi sikap? Bukanlah nak kata semua orang teruk, dalam ramai-ramai tu memang ada yang baik.
Bukankah kehidupan akan jadi lebih teratur dan tenang kalau semua orang amalkan cara hidup yang baik, dan mula ambil peduli tentang orang lain. Kita ni hidup berjiran dan hidup bermasyarakat. Apa salahnya saling bantu membantu dan menyenangkan kehidupan orang lain sekali.
Mujurlah kat tempat saya ni, tak ada si bengap yang suka reserve petak parking untuk kegunaan sendiri… eh benda ni banyak kali saya tengok dekat apartment lain.
Sebab tak ada tindakan dari management, maka dia rasa petak parking tu hak milik mutlak dia. Makin besar kepala la orang macam ni.
Masalah parking ni, akan lebih dirasai buat penghuni yang mempunyai kenderaan sendiri. Kalau penghuni tersebut cuma menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak ke sana-sini, maka tak ada isu dengan hal-hal parking ni.
Selain saya, masih ada lagi ke yang menitikberatkan soal parking sebelum nak memilih menyewa di mana-mana rumah?
Disebabkan ada masalah parking ni, sekarang ni saya rasa susah nak pergi mana-mana lepak kat luar dan balik lewat, ataupun nak ajak kawan-kawan datang rumah. Saya pun tak nak orang lain rasa tak selesa dan rasa susah sebab datang ke rumah saya.