Antara rumah jenis landed dengan rumah jenis apartment, mana satu pilihan hati anda?
Sesetengah orang, dia tak ada pilihan. Pilihannya terhad, mengikut berapa banyak pendapatan yang dia ada. Pendapatan yang dia mampu hasilkan itulah yang akan menentukan, rumah jenis apa yang dia bakal duduki.
Lazimnya rumah jenis landed, lebih mahal berbanding rumah jenis apartment. Begitu juga halnya dengan rumah sewa. Kalau kita cari rumah sewa jenis apartment, mungkin kita akan jumpa dalam satu-satu kawasan tu, pelbagai harga yang ditawarkan.
Saya ambil contoh, iklan rumah sewa jenis apartment di tempat yang saya tinggal sekarang ini. Harga rumah disini adalah dalam anggaran RM700 – RM900 setiap bulan. Kalau bernasib baik, boleh juga jumpa rumah dengan harga sewaan bawah RM700.
Tapi kalau rumah jenis landed, harga kat sini telah pun mencecah RM1,000 dan keatas. Kalau dapat yang ngam-ngam RM1,000 itu memang dah dikira bernasib baik.
Apa yang saya nak cerita kat sini ialah, antara beberapa ujian yang bakal anda lalui jika menyewa dirumah jenis apartment.
Masalah kereta kena calar dari yang biasa-biasa ke serius
Kalau yang ada kereta sendiri, kena sentiasa tabahkan hati dengan dugaan kereta kena calar.
Kadang tu, kita jaga betul-betul kereta kita, kita bawa dengan berhati-hati bagi mengelakkan berlaku sebarang pergeseran yang menyebabkan kerosakkan dan kecacatan pada kereta.
Tapi orang lain macam mana? Adakah orang lain akan turut berhati-hati, seperti mana yang kita harapkan? Jawapannya… belum tentu. Itu contoh kerosakkan biasa-biasa yang selalu saya kena hadapi.
Hari sebelumnya elok je kereta. Tapi keesokkan harinya, kita tak tahu nasib apa yang bakal diterima oleh kereta kita tu.
Saya rasa ini kerosakkan paling teruk setakat yang saya pernah kena.
Saya dah parking kereta dalam kotak parking yang betul. Menurut saksi, pada hari sebelumnya, ada sebuah van yang letak disebelah kereta ni lepas tu bila van tu nak keluar parking, dia langgar kereta saya ni. Habis jatuh bumper depan.
Dah langgar, lepas tu blah macam tu je. Langsung tak ada tinggalkan nama, nombor fon, atau sebarang nota mengatakan yang dia tak sengaja langgar dan minta maaf. Semua tu tak ada.
Mujur ada saksi yang nampak kejadian tersebut berlaku, dan saya bawa kes ini kepada pihak polis untuk diselesaikan. Kejadian langgar lari ni berlaku pada bulan Mac 2018.
Tak sampai 3 bulan lepas kejadian ni berlaku, kereta saya kena langgar lagi. Ini berlaku pada bulan Jun 2018.
Saya syak ada pemandu yang tak berapa mahir bawa kereta, masa dia nak parking, atau masa dia nak keluar dari tempat parking, dia langgar kereta saya ni. Macam biasalah perangai orang duduk apartment ni, bila dah buat salah, buat tak tau dan blah macam tu je.
Ini pula yang terkini, berlaku pada hari semalam. Bulan Ogos 2018. Kali ini cermin kereta pula yang kena pecah!
Untuk kejadian cermin kereta kena pecah ni, saya ada beberapa teori, macam mana kejadian ni boleh berlaku.
Teori pertama
Oleh sebab saya nampak ada dua buah peti televisyen buruk diletakkan tepi tangga, yang kalau tak silap saya, pada hari sebelumnya memang tak ada kat situ, saya agak cermin ni pecah sebab ada orang yang bawa televisyen tu, lalu celah-celah kereta, dengan tak sengaja bucu tv tu kena cermin.
Teori kedua
Mungkin ada orang baling batu. Sama ada budak-budak yang main baling batu, lepas tu terkena cermin kereta.
Teori ketiga
Memang ada cubaan nak pecah masuk dalam kereta. Dulu pernah berlaku, kereta saya ni ada orang masuk, dan curi barang dalam tu. Barang yang hilang pada waktu tu ialah GPS dan juga smart tag. Nampaknya kali ini, kalau teori saya betul disebabkan oleh pencuri, si pencuri tu mungkin tak sempat nak habiskan kerja dia, tiba-tiba ada orang lalu.
Saya tak kisah pun pada teori yang mana satu. Cuma yang saya geram ni, semua benda ni melibatkan kos. Kita ada benda lain yang kita nak bayar, alih-alih terpaksa keluar duit sebab nak baiki kerosakkan macam ni.
Itu sebab kalau boleh nak duduk apartment sekejap je, lepas tu nak pindah cari rumah lain. (sebenarnya dah dapat rumah baru yang jenis landed… Alhamdulillah)
Dari segi kos, memanglah duduk di kediaman jenis apartment itu lebih murah. Namun, penduduk kat kawasan apartment ini, saya perhatikan memang kurang mesra dengan penghuni yang ada kenderaan sendiri. Kita duduk dekat tingkat 9, kereta pula kita parking dekat perkarangan rumah.
Kita mana boleh nak monitor kenderaan kita setiap masa. Kalau ada bajet lebih, bolehlah keluarkan sikit duit untuk beli dashcam dari lazada. Kita mungkin tak dapat halang kejadian buruk dari menimpa kenderaan kita, tapi setidak-tidaknya kita boleh tahu, apa sebenarnya yang terjadi pada kenderaan kita sepanjang ketiadaan kita tu kan.
Sebenarnya bukan ini sahaja masalah yang bakal dilalui apabila tinggal diapartment, ada banyak lagi. Saya nak ajak anda baca pengalaman saya yang lain di posting saya sebelum ini.
Baca disini:
- Masalah lazim yang sering berlaku di rumah jenis Apartment
- Masalah parking TERHAD yang sering berlaku di rumah flat
Ya, kena banyak bersabar.
Kalau tak boleh bersabar, keluarlah, dan carilah rumah lain.