Betul ke kerja sendiri lebih seronok daripada kerja dengan orang? Kerja makan gaji? Hmm…
Saya toleh ke sebelah kiri. Hanya ada dinding. Kemudian, saya toleh pula ke sebelah kanan. Hanya ada satu ruang kosong, yang tak berapa jauh dari ruang tersebut, letaknya sebuah televisyen. Langsung tak ada kelibat sesiapa pun di tempat saya bekerja. Hanya ada saya seorang sahaja… dan 6 ekor kucing yang saya bela sebagai peneman setia.
Ya, saya bekerja sendiri. In fact, most of the time saya bekerja seorang diri. Persoalannya, adakah bekerja sendiri ni menyeronokkan? Saya tahu, bukan semua orang mampu untuk bekerja sendiri. Especially untuk mereka yang cukup suka bersosial dan ber chit chat semasa bekerja. Tiba-tiba nak ubah cara dan corak bekerja kepada kerja sendiri… bukan sesuatu yang mudah! Saya sendiri mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dengan cara bekerja seorang diri.
Selalu kita di suap dengan fantasi, yang mengatakan kerja sendiri ini sangat best. Andalah bos, dan anda berkuasa penuh atas apa yang anda mahu lakukan setiap hari. Ya, saya tak nafikan, ini adalah salah satu daripada kelebihan yang bakal anda perolehi apabila bekerja sendiri.
Kalau kerja dengan orang, belum tentu anda akan dinaikkan pangkat sehingga ke peringkat bos. Setengah orang memang tak akan rasa jadi bos sampai bila-bila, seumur hidupnya. Maka, alternatif yang tinggal, jika dia benar-benar mahu jadi bos, kenalah kerja sendiri. Buka company sendiri. Mulakan perniagaan sendiri, dan waktu tu, andalah bos, dan… anda juga adalah seorang kuli. Adui…
Mujurlah kita jadi kuli untuk perniagaan dan syarikat kita sendiri. Tak adalah rasa teruk sangat, daripada masih lagi perlu menjadi kuli di tempat orang lain. Kita terpaksa ikut sahaja kemahuan dan kehendak majikan kita, walaupun ada ketikanya apa yang dia mahukan tak sama dengan apa yang kita mahu.
Ok… Kerja sendiri. Apa yang bestnya? Pada saya, apa yang buatkan kerja sendiri ini sangat menyeronokkan ialah potensi pendapatan yang boleh kita hasilkan adalah tanpa had. Unlimited. Bila kita kerja dengan majikan, pendapatan kita terhad kepada berapa banyak gaji bulanan yang dijanjikan kepada kita. Kalau majikan kata, gaji kita adalah RM2,500 maka itu sahajalah gaji yang akan kita perolehi, walaupun pada hakikatnya kualiti kerja yang kita berikan, telah membantu syarikat untuk buat untung sampai jutaan ringgit setiap bulan.
Rasa macam tak aci pulak kan. Atau anda rasa perkara ini tak logik? Saya pernah bekerja dalam bidang jualan. Sepanjang saya bekerja tu, saya pernah buat jualan untuk produk berharga kurang dari RM10 hinggalah untuk produk yang berharga lebih daripada RM10 ribu. Walaupun saya dapat belajar macam-macam perkara apabila bekerja untuk syarikat ni, namun saya kurang gembira dengan bayaran upah yang diterima. Rasa tak berbaloi dengan prestasi dan usaha yang saya berikan.
Jika bekerja sendiri, pendapatan kita adalah berdasarkan kepada usaha kita. Banyak usaha yang kita lakukan, In Shaa Allah, banyak jugalah pendapatan yang bakal kita perolehi. Adakah anda jenis yang rajin bekerja? Jika jawapan anda ialah YA, besar kemungkinan anda akan dapat buat lebih banyak duit bila bekerja sendiri kelak.
Selain itu, bekerja sendiri ni kita tak terikat dengan jadual kerja dan masa. Terpulang pada kita sama ada nak buat kerja pada bila-bila masa yang kita suka. Sekiranya anda jenis yang suka kerja tengah-tengah malam, waktu orang lain semua tengah tidur, anda boleh berbuat demikian. Anda nak cuti? Ya, anda boleh bercuti pada bila-bila masa tanpa perlu bimbang permohonan cuti anda akan kena reject dengan majikan anda.
Itu kita cerita part yang best dan seronok dengan kerja sendiri, which are
(1) Potensi memperoleh pendapatan tanpa had
(2) Pendapatan anda adalah berdasarkan usaha
(3) Jadual kerja yang fleksibel
(4) Anda boleh bercuti pada bila-bila masa
(5) Anda boleh pilih nak bekerja dalam bidang apa
Tetapi, apa yang best pasti ada juga yang tak berapa best. Begitu juga dengan bekerja sendiri. Bukan semuanya indah-indah belaka ya. Anda juga perlu tahu, ada banyak juga yang tak seronok dengan kerja sendiri ni, antaranya yang popular ialah
(1) Anda akan habiskan masa yang panjang untuk bekerja
Anda perlu sentiasa bekerja. Mungkin anda akan dapati, anda bekerja dalam tempoh masa yang lebih panjang berbanding anda kerja makan gaji. Hidup anda adalah sebahagian dari kerja anda. Waktu anda tidak bekerja pun, besar kemungkinan anda akan sentiasa memikirkan tentang kerja. Walaupun anda sedang bercuti, minda anda akan sentiasa bekerja untuk memikirkan hal-hal seperti macam mana nak cari pelanggan, macam mana nak tambahkan job, macam mana nak tambah pendapatan dan sebagainya.
(2) Tak ada caruman KWSP!
Bila kita kerja dengan orang, majikan kita akan sama-sama tolong mencarum KWSP untuk kita. Tapi kalau kerja sendiri? Selamat tinggal caruman KWSP. Kita kena mencarum sendiri, 100% dari duit kita dan perniagaan kita.
(3) Tiada perlindungan insurans/ takaful dan juga socso
Semua ini disediakan oleh majikan apabila kita kerja makan gaji. Tapi bila kita kerja sendiri, ia menjadi tanggungjawab kita sepenuhnya untuk menyediakan semua item ini. Ya, bayarannya perlu keluar dari duit poket kita sendiri.
(4) Tiada medical card
Mari kita sama-sama berdoa supaya kita tak diserang sebarang penyakit. Pada masa yang sama, kita juga kena sentiasa jaga kesihatan. Banyakkan bersenam, jaga pemakanan dan jangan sesekali merokok. Mudah-mudahan kita tak diserang sebarang penyakit. Kos perubatan sangatlah mahal jika tiada medical card. Semasa bekerja, majikan kita mungkin ada sediakan medical card, tetapi apabila bekerja sendiri, kita kena dapatkan medical card kita sendiri.
Jika tidak, siap sedia untuk kena caj mahal apabila dapatkan rawatan.
(5) Selamat tinggal kepada cuti berbayar
Satu yang best dengan kerja makan gaji ni ialah kita dapat cuti berbayar, atau annual leave. Walaupun kita tengah cuti, gaji kita tetap jalan. Sebaliknya, kalau kerja sendiri, tak kerja maka tak ada gaji. Fair enough?
Oleh sebab itu, di peringkat awal, terpaksalah kita lakukan sesuatu yang boleh memberi kita pendapatan pasif. Tak banyak tak apa, yang penting ada pendapatan. Itu masih lagi lebih baik berbanding langsung tak ada pendapatan, kan.
Ini pendapat saya sahaja. Kalau nak buat bisnes sendiri, atau bekerja sendiri sekalipun, kena pastikan yang kita ada buat sesuatu yang boleh berikan pendapatan pasif. Nak contoh? Ok contoh ini adalah contoh yang saya sendiri lakukan. Semua orang boleh lakukan kalau mahu. Cuma kena usaha lebih dan kalau tak tau, kenalah belajar.
Ini antara idea yang anda boleh lakukan untuk wujudkan pendapatan pasif anda sendiri
(1) Buat bisnes simkad sama ada Tone Excel ataupun ONEXOX. Selagi mana pelanggan anda lakukan tambah nilai, selagi itu anda akan dapat komisen.
(2) Buat blog dan menulis secara konsisten. Join program affiliate, dan In Shaa Allah anda juga akan dapat komisen affiliate seperti saya pada setiap bulan. Ada banyak program affiliate yang anda boleh join antaranya program affiliate Lazada, Involve Asia, Bookcafe dan macam-macam lagi.
(3) Jika anda ada modal yang besar, boleh juga melabur dalam hartanah. Sebagai contoh, melabur untuk dapatkan rumah kemudian sewakan kepada penyewa. Kalau tak ada kemahiran dan pengetahuan tu, boleh la baca buku Azizi Ali yang berjudul “Bagaimana Hendak Menjadi Tuan Rumah Jutawan“.
Terima kasih sebab baca sampai ke bahagian ini. Sepatutnya pada waktu ini, anda dah dapat serba sedikit gambaran, bahawa kerja sendiri tidaklah sentiasa indah. Kalau ada yang kata, bekerja sendiri ini sebenarnya ianya indah khabar dari rupa, saya setuju. Mungkin itu pengalaman dia. Saya tak boleh nak kata apa.
Tapi adakah semua yang kerja sendiri ni tak cukup makan? Sudah tentu tidak. Ramai juga yang berjaya dalam bidang masing-masing. Kejayaan setiap orang tak akan sama dengan orang lain. Ada orang hanya akan rasa dirinya berjaya apabila banyak dapat duit. Tetapi ada juga orang yang rasa telah berjaya apabila berjaya bantu orang lain mencapai impian dan menyelesaikan masalah mereka.
Kan dah kata, lain orang lain situasinya.
Kejayaan anda dalam merentasi kehidupan sebagai seseorang yang bekerja sendiri akan banyak dipengaruhi oleh dua faktor. Faktor tersebut ialah
(1) Perancangan yang rapi, dan
(2) Persediaan yang mencukupi
Saya tak nak terangkan panjang-panjang. Saya biarkan anda untuk fikirkan sendiri, adakah perancangan dan persediaan anda telah mencukupi? Jika ya, silakan berhenti kerja sekarang dan bekerjalah sendiri.
Hidup ini terlalu singkat untuk kekal statik dalam satu tempat!
Leave a Reply