Kali pertama saya mengetahui tentang konsep buat duit dengan program affiliate, adalah pada tahun 2009. Tahun yang sama, saya mula belajar macam mana cara nak buat duit menggunakan platform blog.
Pada waktu tu, saya merasakan proses untuk buat duit dengan affiliate marketing sangat susah. Boleh jadi sebab pada waktu tersebut, saya masih belum betul-betul faham, apa benda sebenarnya affiliate marketing ini?
Jika anda juga masih belum betul-betul faham, apa itu affiliate marketing, anda tak perlu risau. Saya ada sediakan sebuah artikel yang akan menjawab pertanyaan tersebut.
Baca disini: Apa itu program affiliate marketing?
Sepanjang beberapa tahun pengalaman yang ada dalam bidang ini, saya telah mengumpulkan beberapa tips yang saya kira berguna dan patut anda ketahui, jika anda masih agak baru dalam bidang ini. Justeru, tanpa membuang terlalu banyak masa, saya ingin persembahkan kepada anda dan pembaca sekalian, koleksi tips buat duit dengan affiliate marketing.
Semoga tips ini memberi anda manfaat dan dapat membantu anda menghasilkan pendapatan yang lebih lumayan dalam perjalanan anda sebagai seorang ejen affiliate dimasa akan datang.
(1) Pilih program affiliate yang betul
Untuk makluman anda, diluar sana terdapat banyak program affiliate yang anda boleh sertai.
Ada program affiliate yang dianjurkan oleh orang perseorangan.
Ada program affiliate yang dianjurkan oleh syarikat.
Ada juga program affiliate yang dianjurkan oleh pihak ketiga, yang kita kenali dengan nama panggilan affiliate network.
Bila ada terlalu banyak pilihan, mungkin kita akan rasa keliru, mana satu yang patut kita join, betul tak?
Pada peringkat awal, cuba elakkan untuk join semua program affiliate yang anda temui. Boleh jadi ada yang fikir, lagi banyak program affiliate yang kita join itu lebih bagus, sebabnya potensi pendapatan yang bakal diperolehi nanti juga akan jadi lebih banyak.
Sebagai contoh,
Program affiliate A – Pendapatan RM300
Program affiliate B – Pendapatan RM1,000
Program affiliate C – Pendapatan RM750
Wah… boleh dapat RM2,000++ setiap bulan, siapa yang tak nak, kan?
Itupun kalau anda ada masa nak promosikan semua, dan anda berjaya dapatkan jualan dari semua kerja marketing yang anda jalankan. Silap haribulan, tak ada satu pun yang berjaya memberikan anda komisen, memandangkan anda tak mampu nak fokus dalam menghasilkan konten marketing yang terbaik.
Kalau saya boleh berikan nasihat kepada anda, sebaik-baiknya anda fokus pada satu program affiliate sahaja dulu. Buat betul-betul sampai berjaya dapat hasilkan komisen yang konsisten, dan selepas itu barulah join program yang lain pula.
Satu lagi, kalau anda temui program affiliate yang dianjurkan oleh orang perseorangan, pastikan anda betul-betul kenal dengan individu tersebut. Saya sendiri sudah beberapa kali promosikan produk milik orang perseorangan, tapi bila dah berjaya hasilkan jualan, pihak penganjur tidak mahu membayar komisen yang patut saya terima.
Setiap email yang saya hantar, whatsapp dan sebagainya semuanya tak dijawab. Saya anggap itu merupakan risiko yang terpaksa saya tanggung sebagai seorang ejen affiliate.
Bagi pihak pengendali program pula, kalau dia memang sengaja tak nak bayar, terpulanglah pada dia nak tanggung dosa tersebut.
(2) Bina platform pemasaran anda sendiri
Sebaik-baiknya anda perlu bina platform pemasaran anda sendiri. Dalam hal ini, terpulang kepada anda, sama ada nak bina platform pemasaran dalam bentuk
i. Blog
ii. Channel Youtube
iii. FB Fanpage
iv. FB Group
v. Group Whatsapp
vi. Group Telegram
vi. Email database atau senarai email
Platform pemasaran yang bakal anda pilih nanti mestilah mudah untuk diakses oleh bakal pelanggan anda. Bakal pelanggan mudah untuk keluar dan masuk pada platform yang anda hasilkan. Mereka juga mudah untuk menjadi pengguna bagi konten yang anda terbitkan pada platform tersebut.
Selain itu, anda juga perlu mengambil kira faktor seperti kebebasan untuk menghasilkan sebarang konten tanpa perlu bimbang konten tersebut disekat oleh pihak penyedia platform.
Pada pendapat saya, platform yang memberi kita peluang dan ruang untuk kita “menumpangkan konten kita” seperti channel youtube, akaun media sosial, akaun tiktok dan sebagainya kurang bagus kalau kita nak jadikan ia sebagai platform pemasaran yang utama. Kalau sekadar untuk sokongan (support) itu tak ada masalah.
Platform seperti itu, mempunyai banyak terma dan syarat yang kita perlu patuhi bagi mengelakkan akaun kita disekat. Selain itu, jika kita tersalah langkah, pengguna lain boleh membuat report beramai-ramai terhadap akaun kita, lalu boleh menyebabkan akaun kita disekat terus. Ini boleh menyebabkan kita bakal kehilangan akaun kita selamanya.
Sebaiknya bila kita nak bangunkan sesebuah platform, kita bangunkan di tempat yang kita mempunyai kawalan penuh. Bila kita buat sesuatu konten, jika ada pihak yang tak setuju dengan konten tersebut, tak ada siapa yang boleh report ataupun mengambil tindakan drastik seperti menyekat akaun kita.
Saya dapati, platform yang kita boleh ada kawalan penuh adalah blog atau website peribadi yang menggunakan nama domain dan hosting sendiri. Atas sebab itu jugalah saya lebih banyak bangunkan blog, berbanding lain-lain bentuk platform.
Baca juga: Panduan pemasangan blog wordpress self hosted
(3) Hasilkan konten yang bermanfaat
Apa yang membezakan antara seorang content marketer dengan content marketer yang lain?
Sebelum anda jawab soalan tersebut, mungkin anda nak tahu dulu, apakah yang dimaksudkan sebagai content marketer? Content marketer merujuk kepada seseorang yang memiliki kemahiran untuk menghasilkan sesebuah kandungan yang dapat menarik minat orang ramai menjadi pelanggan kepada syarikat yang dipromosikan.
Pada hari ini, hampir semua orang mampu untuk menjadi seorang content marketer. Kalau tak pandai nak cipta konten, ianya boleh dipelajari dengan sangat mudah. Andai kata anda minat nak hasilkan konten dalam bentuk artikel atau penulisan, kemahiran ini sebenarnya telah pun anda pelajari sejak dari bangku sekolah lagi.
Saya boleh katakan, asas ilmu penulisan sudah ada pada diri kebanyakkan orang. Apa yang diperlukan hanyalah untuk menambahbaik skill tersebut, supaya dapat menghasilkan konten penulisan yang lebih mantap.
Apabila menghasilkan konten untuk pengguna internet, fokus kita adalah untuk menghasilkan konten yang bermanfaat dan berguna untuk mereka. Kadang-kadang gaya bahasa dan style penulisan tak begitu dititikberatkan asalkan point yang kita cuba nak sampaikan itu difahami oleh pembaca.
Ia sangat berbeza kalau nak dibandingkan dengan gaya penulisan dalam membuat karangan. Ada banyak tatabahasa dan peraturan yang kita perlu ikuti. Tapi menulis di internet, ianya lebih santai. Apa yang paling utama, pembaca dapat kefahaman serta manfaat dari penulisan kita.
(4) Optimasikan setiap konten yang anda telah hasilkan
Tujuan kita optimasikan konten yang telah kita hasilkan ini adalah untuk memudahkan bakal pelanggan menemui konten yang telah kita hasilkan sebelum ini.
Kalau kita menggunakan platform blog, sudah tentu kita mahukan artikel kita berada di kedudukan yang baik di halaman enjin carian Google untuk kata kunci yang kita telah sasarkan. Biasanya kata kunci ini kita akan decide berdasarkan kepada behaviour pengguna internet itu sendiri.
Andai kata kita nak menjual sesuatu kepada individu yang berminat menjalankan bisnes homestay, atau yang memang sedang menjalankan bisnes homestay, sudah tentu kita mahukan konten kita mudah ditemui oleh individu yang menepati kriteria seperti itu.
Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tahu, saya memang ada menyediakan perkhidmatan menulis review untuk bisnes homestay. Target pelanggan saya sudah tentu adalah dalam kalangan mereka yang baru nak menjalankan bisnes homestay atau yang sudah lama menjalankan bisnes ini, tapi masih belum ada kesempatan untuk mendapatkan review bagi perniagaan yang mereka jalankan.
Lazimnya, individu seperti ini akan berminat dengan kata kunci seperti
i. Cara promosi bisnes homestay
ii. Cara berkesan mempromosikan bisnes homestay
iii. Cara menjalankan bisnes homestay
iv. Panduan bisnes homestay dan sebagainya
Atas sebab itu, maka saya juga ada menghasilkan konten yang berkaitan dengan topik yang bakal menarik perhatian mereka. Apabila mereka ini mencari info yang berkaitan dengan bisnes yang mereka jalankan, mereka akan temui laman web saya. Contohnya adalah seperti dibawah.
Saya akan pastikan, setiap artikel yang saya tulis, saya akan optimasikan dengan teknik Search Engine Optimazation.
Baca juga: Apa yang dimaksudkan dengan artikel SEO optimized?
Perkara ini sebenarnya common sense sahaja. Kita sudah susah payah mencari idea dan menghasilkan konten, sudah tentu kita mahukan golongan yang kita sasarkan dapat menemui artikel kita dengan mudah.
Jika anda menggunakan video Youtube untuk tujuan pemasaran, anda juga perlu optimasikan setiap video yang anda hasilkan dengan keyword tertentu. Tujuannya sama, iaitu untuk memudahkan pelawat menemui konten yang telah anda hasilkan. Dengan ini barulah anda memiliki peluang yang lebih baik untuk hasilkan jualan.
(5) Pengetahuan yang mendalam mengenai sesuatu niche
Pemilihan niche yang betul adalah langkah pertama yang perlu dilakukan. Sebelum kita nak cari apa produk yang kita nak promosikan, sebaik-baiknya kita tetapkan dulu, apakah niche yang kita nak ceburi.
Apa benda sebenarnya niche ni?
Niche ini adalah merujuk kepada bidang, jurusan, ataupun topik yang kita ingin berkecimpung didalamnya.
Sebagai contoh, dalam banyak-banyak niche ada diluar sana, mungkin anda suka untuk pilih niche kesihatan, kewangan, pelaburan, pendidikan, percutian atau mungkin kekeluargaan. Sebenarnya ada banyak lagi niche diluar sana yang anda boleh pilih.
Baiklah, sekiranya anda ingin mendapatkan kejayaan yang lebih baik menerusi program affiliate, sebaik-baiknya anda pilih niche yang betul-betul anda selesa, kena dengan jiwa anda dan pada masa yang sama, anda mempunyai pengetahuan yang luas dalam niche tersebut.
Andai kata anda tak memiliki pengetahuan yang luas tentang sesuatu niche sekalipun, ia bukanlah satu isu yang besar. Asalkan anda memang betul-betul mempunyai minat yang mendalam terhadap niche tersebut. Bila ada minat yang kuat, anda pasti tak rasa terbeban untuk banyakkan membaca dan menambahkan ilmu anda untuk menguasai sesuatu niche.
Apabila kita betul-betul kuasai sesuatu niche, ini akan memudahkan kita untuk membina konten yang sangat berkualiti. Apabila ada pertanyaan dari bakal pelanggan, kita dengan mudah mampu untuk memberikan jawapan kepada setiap persoalan mereka.
Tetapi, kalau anda masuk dalam sesuatu niche, semata-mata sebab anda terpengaruh dengan orang lain yang mampu menjana pendapatan yang lumayan, besar kemungkinan anda tak akan raih kejayaan yang sama seperti individu yang anda kagumi tersebut.
Jika anda perlu hasilkan konten sekalipun, lazimnya hasil kerja tersebut terlalu biasa, kurang berkualiti, dan tak ramai yang minat nak follow perkongsian dari anda. Bagi follower, mereka merasakan lebih baik ikuti individu yang memang betul-betul ada kepakaran daripada follow seseorang yang cuma minat nak buat duit semata-mata.
Jadi, pilihlah niche yang betul dan mula membina nama dalam niche pilihan anda itu nanti.
(6) Pengetahuan yang mendalam mengenai sesuatu produk
Sekarang kita bercerita mengenai produk ataupun servis yang bakal anda promosikan pula.
Boleh ataupun tidak, kita promosikan produk yang kita sendiri tak berapa tahu mengenai produk tersebut?
Jawapannya, sudah tentu boleh.
Kemudian kita bandingkan pula dengan orang lain yang memang tahu tentang produk, dan ada pengalaman menggunakan produk. Agak-agaknya la kan, antara anda yang tak berapa tahu mengenai produk dengan individu yang satu lagi, siapakah yang dapat menghasilkan kempen promosi yang lebih baik?
Sudah tentu jawapannya adalah individu yang memang tahu serba serbi mengenai produk.
Atas sebab ini, saya amat mengesyorkan untuk ejen affiliate membeli dulu produk yang bakal dipromosikan. Nasihat ini terpakai jika anda ingin menjual produk seperti ebook, program latihan, buku, dan sebagainya.
Setidak-tidaknya apabila anda betul-betul tahu mengenai produk yang anda promosikan, anda dapat memberikan maklumat yang tepat mengenai produk tersebut dan pada masa yang sama anda tak perlu meneka-neka, apa sebenarnya yang terkandung dalam produk yang anda sedang promosikan.
(7) Hasilkan perbandingan produk
Sesetengah produk mempunyai banyak pesaing dari jenama yang berbeza. Kita ambil contoh,
i. Kamera dslr Nikon, Canon dan Sony
ii. Smartphone jenama Apple, Huawei, Samsung dan banyak lagi
Bagaimana kita boleh bantu pelanggan untuk buat keputusan, mana satu produk yang terbaik untuk dia?
Jawapannya adalah dengan membuat perbandingan produk.
Produk yang lebih murah tak semestinya lebih disukai oleh pelanggan, memandangkan setiap pelanggan yang berbeza mempunyai kemahuan dan keperluan yang berbeza juga.
Ada banyak orang yang tak kisah bayar lebih mahal, asalkan apa yang mereka perlukan nanti dapat diperolehi. Apalah gunanya bayar harga yang murah, kalau produk yang bakal diperolehi nanti tak menepati kriteria yang dimahukan.
Jika anda menyertai program affiliate Shopee misalnya, anda boleh menggunakan cara ini untuk mempromosikan produk yang dijual di platform tersebut. Menariknya dengan program seumpama ini, tak kisahlah mana satu yang akan dibeli oleh pelanggan tersebut nanti, sama ada produk A atau produk B, anda tetap akan dapat komisen.
(8) Syorkan produk yang betul-betul bermanfaat
Apabila kita membuat pengesyoran sesuatu produk, kita perlu pastikan produk tersebut memang betul-betul ada manfaat kepada pengguna.
Prioriti adalah produk yang bermanfaat.
Bukannya beri keutamaan kepada berapa banyak profit yang kita boleh dapat dari produk tersebut.
Kenapa saya perlu highlight perkara yang nampak macam common sense ini?
Dekat luar sana, ada produk yang saya boleh katakan sebagai produk yang “bermasalah”. Produk yang bermasalah ini, dijual dengan harga yang agak tinggi dan menawarkan komisen yang agak lumayan.
Produk bermasalah ini bukannya selalu ada. Ia muncul secara bermusim.
Biar saya cerita lebih lanjut mengenai produk bermasalah ini, supaya anda boleh dapat gambaran mengenai produk yang saya maksudkan.
Produk bermasalah untuk kita elakkan
1. Produk ini biasanya datang dalam bentuk produk digital.
Sama ada dalam bentuk ebook, program latihan dari rumah ataupun software.
2. Produk ini dijual dengan harga yang agak premium
Harga yang tinggi kononnya menggambarkan betapa berharganya produk ini. Ia kononnya tak dijual kepada semua orang, dan hanya orang terpilih, yang nampak potensi sahaja yang akan bertindak untuk mendapatkan produk tersebut. Orang yang masih terlena, memang tak akan nampak dan tak hargai produk.
Produk ini juga boleh didatangkan dalam bentuk pakej, seperti pakej Bronze, Silver, Gold dan pakej istimewa Diamond.
Contohnya
Pakej Bronze RM297
Pakej Silver RM597
Pakej Gold RM799
Pakej Diamond RM999
Kononnya pakej yang berbeza, menawarkan kelebihan yang berbeza dan pembeli boleh dapat “keuntungan” atau “potential income” yang lebih tinggi. Sila ingat baik-baik, saya gelarkan produk ini sebagai produk bermasalah, jadi faham-fahamlah, lazimnya pembeli tak akan dapat pun keuntungan yang dijanjikan.
3. Komisen yang ditawarkan untuk produk juga sangat tinggi
Komisen affiliate boleh mencecah sehingga 80% untuk setiap produk.
Andaikan harga produk berharga RM297, dan kadar komisen ialah 80%, maka komisen yang dia perolehi adalah RM237.60
Kalau produk RM597, komisen yang bakal dibayar adalah RM477.60
Lumayan, kan?
4. Pelanggan dijanjikan pulangan pendapatan yang lumayan dan tak masuk akal
Apa yang membuatkan pelanggan buat keputusan untuk beli?
Lazimnya sebab dia tertipu dengan janji-janji manis yang ditaburkan di halaman jualan. Kononnya, selepas beli software ajaib tersebut, pembeli hanya perlu install dan biarkan software tersebut berjalan dengan sendirinya.
Selepas itu, pelanggan hanya perlu tunggu duit masuk dalam akaun bank.
Kemudian disertakan bukti pendapatan, yang menunjukkan duit sebanyak RM200 masuk setiap beberapa minit.
Kalau anda tak tertipu dengan janji-janji palsu ini, saya ucapkan syabas! Anda mempunyai akal dan pemikiran yang sihat. Anda masih berfikir dengan rasional.
Tapi sayangnya, diluar sana masih ramai yang tertipu dengan hal-hal seperti ini. Mungkin sebab dia kurang ilmu, dan terpedaya dengan kata-kata si tukang promosi.
Apa akan jadi lepas pelanggan buat pembelian?
Biasanya tak ada apa-apa yang akan berlaku.
Pembeli akan dapat sebuah software yang fungsinya adalah melakukan kerja-kerja spamming dengan membuat posting secara automatik di platform seperti video youtube milik orang lain, di bahagian komen blog milik orang lain, di media sosial, forum dan sebagainya.
Anda perlu masukkan link affiliate (sebarang link affiliate) untuk di post secara automatik menerusi software tersebut.
Kalau anda nak dapatkan pendapatan yang lebih tinggi, anda perlu promosikan software dan halaman jualan software tersebut. Ini bermakna, anda perlu sambung dan sebarluaskan kerja-kerja penipuan yang dilakukan oleh pemilik asal software tersebut.
Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga, kenapa ada orang yang sanggup untuk promosikan produk bermasalah seperti ini?
Saya fikir, semua ini sebab duit.
Cubalah bayangkan, kalau satu jualan dapat komisen 80% dan pembeli memilih pakej berharga RM999. Dari situ je dia boleh dapat komisen sebanyak RM799! Itu baru satu pembeli. Kalau dia dapat 100 pembeli? 1,000 pembeli? Tak goyang?
Sekadar untuk hiburan, saya pun buat pengiraan,
RM799 komisen setiap jualan X 1,000 pembeli = RM799,000!
Wow… adakah ini mustahil?
Tak ada apa yang mustahil.
Sesetengah ejen affiliate yang berpengalaman, ada yang mempunyai senarai emel database yang sangat besar. Boleh mencecah sehingga 100,000 senarai email. Sekali dia hantar email, semua 100,000 orang ini akan terima email tersebut.
Kalau ada ejen affiliate yang mempunyai sehingga 1 juta senarai email pun saya tak rasa pelik. Jadi, memang tak mustahil untuk dia dapat jualan yang sangat tinggi.
Tapi itu la.. produk ini tak ada manfaat langsung.
(9) Promosikan produk digital untuk komisen yang lebih tinggi
Kalau kita buat perbandingan antara produk digital dengan produk fizikal, lazimnya produk digital mampu untuk berikan komisen yang lebih tinggi. Ada produk digital yang memberikan komisen 50%, 70% dan ada juga yang berikan komisen 100%!
Kos untuk menghasilkan produk digital lazimnya lebih rendah berbanding produk fizikal.
Kita bandingkan antara ebook dan juga buku fizikal.
Proses penulisan ebook biasanya bermula dengan menggunakan perisian seperti microsoft words. Apabila penulis sudah siap menghasilkan ebook, dan sudah siap menyediakan ebook e-cover, ebook ini akan dijual dalam format .pdf sahaja. Jika ada pembeli yang minat nak dapatkan edisi cetakan, pelanggan tersebut perlu membuat cetakan (printing) tersebut sendiri.
Lazimnya, kos menghasilkan ebook perlu dikeluarkan sekali sahaja. Selepas ebook tersebut siap untuk dijual, setiap jualan yang terhasil akan memberikan keuntungan 100%.
Mungkin akan ada pihak yang akan argue, keuntungan yang terhasil bukannya 100%, sebab mengambil kira kos elektrik, kos langganan internet dan sebagainya. Well… whatever… I know you know what I mean.
Bagaimana pula kalau buku fizikal?
Biasanya penulis akan bekerjasama dengan syarikat penerbit untuk menerbitkan dan membuat cetakan bagi buku tersebut. Setiap buku yang dicetak ada kosnya.
Sebab itu, peratus keuntungan untuk jualan buku, lazimnya tak begitu tinggi. Sekitar 5% – 10% sahaja.
Salah satu laman web yang fokus menjual produk dalam bentuk ebook adalah Klikjer.
Maklumat lanjut mengenai klikjer boleh didapati disini.
Kalau laman web yang fokusnya menjual buku fizikal pula adalah Bookcafe.
Anda boleh layari laman web Bookcafe disini.
Kalau nak daftar sebagai ejen affiliate pun boleh dipautan yang sama.
(10) Kongsikan kod promosi
Semua orang sibuk dengan hal dan kehidupan masing-masing.
Disebabkan kesibukkan ini, ada ramai antara kita yang tak sedar dan tak pernah ambil tahu pun mengenai promosi terkini yang sedang atau bakal dilakukan diplatform jualan, sama ada di Shopee, Lazada ataupun di PG Mall.
Jadi, jika anda ingin mengambil tanggungjawab ini, bolehlah jadi individu yang tugasnya beritahu dan tolong ingatkan tentang kewujudan promosi-promosi ini. Kalau ada pelanggan yang buat pembelian melalui kod promosi yang anda sebarkan, pembeli dapat untung dalam bentuk pengurangan harga (diskaun) yang dia nikmati manakala anda pula dapat komisen affiliate.
(11) Gunakan iklan berbayar ketika peak season
Ketika musim kemuncak, seperti cuti sekolah, musim perayaan dan sebagainya, akan ada banyak penjual yang menjalankan kempen promosi besar-besaran. Pada waktu seperti ini, mood untuk membeli juga sedang memuncak.
Oleh itu, jika anda ingin memanfaatkan musim peak season ini, adalah lebih baik anda menggunakan teknik pengiklanan berbayar yang lebih agresif, berbanding hanya menunggu pelanggan datang secara organik.
Pada waktu yang sama, kebanyakkan pesaing anda juga mungkin akan menggunakan taktik yang sama, iaitu menggunakan iklan berbayar. Jika anda tak berbuat sesuatu, kesemua prospek anda mungkin akan membeli dari pesaing anda.
(12) Pilih penjual yang mempunyai laman jualan yang bagus
Ada beberapa aspek yang biasanya saya akan lihat, bagi menentukan sama ada sesuatu halaman jualan itu memenuhi kriteria sebagai halaman jualan yang bagus atau sebaliknya. Antara perkara yang saya akan lihat adalah dari segi
i. Copywriting ayat-ayat jualan
ii. Penggunaan grafik yang menarik
iii. Ada menyediakan sampel produk
iv. Kalau produk digital, ada sediakan ebook percuma
v. Ada review dari pelanggan terdahulu
vi. Ada bukti keberkesanan produk
vii. Penjual memiliki reputasi yang baik
Halaman jualan yang bagus biasanya dapat meyakinkan bakal pelanggan untuk membuat pembelian. Tapi, kalau laman jualan disediakan secara ala kadar, terlalu comot, biasanya saya akan elakkan dari mempromosikan produk tersebut. Saya tak nak usaha pemasaran yang saya lakukan jadi sia-sia, disebabkan susun atur laman jualan yang sangat buruk.
(13) Berikan sebab yang konkrit untuk pelawat menekan klik pada link affiliate anda
Saya rasa ini merupakan point penting yang kerap ejen affiliate terlepas pandang. Adakah anda sedar, betapa pentingnya untuk anda memastikan pelawat ataupun bakal pelanggan anda menekan klik pada link affiliate anda?
Saya tegaskan sekali lagi, ianya sangat penting.
Usaha pemasaran anda akan menjadi sia-sia, kalau bakal pelanggan tersebut tidak menekan klik pada link affiliate anda. Jika pelanggan tersebut membuat pembelian, anda langsung tak akan menerima komisen, walaupun pada awalnya dia tahu mengenai produk dan yakin untuk membuat pembelian disebabkan oleh usaha pemasaran anda.
Oleh yang demikian, anda perlu pastikan dalam setiap konten yang anda hasilkan, perlu ada ayat Call To Action (CTA) yang jelas.
Anda perlu berikan sebab yang JELAS untuk bakal pelanggan menekan klik pada link affiliate anda. Saya cadangkan beberapa bentuk CTA, yang anda boleh praktikkan, antaranya
i. Sila layari laman web ini untuk dapatkan sample percuma
ii. Sila layari pautan ini untuk download secara percuma
iii. Dapatkan maklumat lanjut disini
iv. Penjelasan penuh mengenai kelebihan dan kekurangan produk boleh baca disini
v. Klik link ini untuk lihat apa review pengguna lain
Jika anda dapat perhatikan, saya elakkan penggunaan CTA yang menyuruh bakal pelanggan untuk membuat pembelian. Contohnya
i. Klik sini kalau nak beli
ii. Boleh beli disini
iii. Beli sekarang dengan menekan klik pada pautan ini
Lazimnya, bakal pelanggan akan menjadi defensif jika kita menyuruh dia untuk membuat pembelian. Secara automatik, dia akan terbayangkan duit dalam akaun banknya akan berkurangan kerana membeli produk yang kita syorkan.
Sebaliknya, jika kita sekadar mengajak dia untuk dapatkan sample percuma, download percuma, dapatkan maklumat lanjut, semua ini tak memberi kesan negatif kepada akaun bank miliknya. Justeru, mereka lebih terbuka untuk berbuat demikian.
Oleh itu, saya akan elakkan penggunaan ayat yang secara terang-terangan menyuruh untuk membuat pembelian dan akan menggantikannya dengan ayat untuk mendapatkan free gift, maklumat lanjut, baca review dan sebagainya.
Lagipun, tugas kita yang paling utama adalah menghantar trafik ke laman jualan, bukannya membuat jualan. Saya pegang kepada konsep “bakal pelanggan tak suka apabila disuruh membuat pembelian, tapi mereka dengan sukarela akan membuat pembelian jika produk tersebut memang kena dengan selera mereka.”
Alright, jadi tunggu apa lagi, cuba semak balik artikel dan konten-konten yang anda pernah buat sebelum ini. Ada tak anda sertakan alasan yang konkrit untuk pembaca atau audience anda menekan klik pada link yang anda sertakan? Kalau tak ada, atau alasan tak berapa kuat, silalah luangkan sedikit masa untuk edit konten tersebut.
(14) Pilih program affiliate yang menawarkan komisen berperingkat
Konsep komisen berperingkat ini sebenarnya hampir menyamai bentuk komisen yang ditawarkan dalam bisnes berkonsepkan Network Marketing ataupun Multi Level Marketing.
Tapi, tahukah anda, apa yang membezakan antara program affiliate dengan program multilevel marketing?
Baca juga: Perbezaan antara program affiliate dengan program network marketing
Sebenarnya ada banyak perbezaan. Tapi pada saya perbezaan yang paling ketara adalah, dalam program affiliate, fokus kita adalah untuk menghasilkan jualan produk dengan memberikan penerangan yang jelas kepada bakal pelanggan mengenai apa produk atau perkhidmatan yang kita jual, kelebihan dan kekurangan yang ada.
Atau ringkasnya, dalam program affiliate, fokus kita adalah untuk menjual produk.
Berbeza pula halnya dengan program MLM atau network marketing. Dalam program ini, lazimnya jualan produk akan jadi perkara nombor dua. Mereka lebih utamakan untuk membina rangkaian. Apabila rangkaian telah terbina, barulah produk akan terjual.
Fokusnya adalah untuk membina rangkaian, dan pendapatan akan terhasil dengan sendirinya melalui rangkaian yang dibina. Sudah tentu, untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar, seseorang itu perlu membuat sejumlah bayaran, dan akan menerima produk syarikat.
Kebelakangan ini, ada program affiliate yang mula menawarkan komisen berperingkat atau tier-commission kepada para ejennya. Boleh jadi sebab penganjur program ingin memberi lebih penghargaan kepada ejen yang bukan sahaja telah membantu syarikat mendapatkan jualan produk, malahan ada ejen yang turut memperkenalkan ejen baru kepada syarikat.
Salah satu program affiliate yang ada menawarkan sistem komisen berperingkat adalah program affiliate klikjer.
Program affiliate klikjer ini menawarkan komisen sebanyak 50% bagi setiap jualan yang kita berjaya hasilkan. Bermaksud, kalau harga produk yang kita promosikan itu ialah RM100, maka komisen yang kita bakal perolehi adalah sebanyak RM50.
Tambahan pula, jika kita berjaya merekrut sub-affiliate, kita akan dapat menikmati komisen sebanyak 5% bagi setiap jualan yang sub-affiliate kita berjaya hasilkan. Contohnya, jika sub-affiliate kita berjaya hasilkan jualan produk berharga RM100, dia akan dapat komisen sebanyak 50% manakala kita pula akan dapat overiding komisen sebanyak 5% atau bersamaan dengan RM5.
Komisen ini diambil daripada keuntungan jualan produk. Pembeli masih tetap membayar harga yang sama untuk membeli produk tersebut, manakala sub-affiliate kita masih tetap menerima komisen sebanyak 50% seperti yang dijanjikan. Tiada mana-mana pihak yang tertindas dalam situasi ini.
Bagi pihak pembeli juga sama. Jika dia merasakan produk yang dipromosikan tak menepati kehendak yang dia mahukan, tak ada siapa yang akan paksa mahupun cuba untuk mempengaruhi dia untuk membuat pembelian. Tiada siapa yang akan ganggu dan melakukan kerja-kerja follow up, memujuk siang dan malam untuk dia beli produk.
Bukan itu sahaja, malahan jika pembeli bersetuju untuk membuat pembelian, setiap pembelian yang dilakukan dilindungi oleh jaminan refund selama 30 hari. Jika pembeli merasakan produk tak sama seperti yang dijanjikan, dia boleh minta dikembalikan wang yang telah dikeluarkan dan dia (pembeli) boleh simpan produk tersebut.
Program affiliate yang betul, biasanya memang akan melindungi kepentingan pembeli dan juga kepentingan para ejen affiliatenya.
(15) Pilih program affiliate yang menawarkan komisen sepanjang hayat
Komisen sepanjang hayat ini juga dikenali dengan istilah life time commission. Anda akan menerima komisen sepanjang hayat pelanggan tersebut membeli produk yang dijual oleh syarikat.
Andai kata pelanggan tersebut membeli produk keluaran syarikat selama 20 tahun lamanya, bermakna selama itu jugalah anda akan terima komisen hasil dari perbelanjaan yang dilakukan oleh pelanggan tersebut.
Boleh jadi anda ada pertanyaan. Dimana kita nak cari program affiliate seumpama ini, yang dapat memberikan life time commission kepada para ejennya?
Jangan risau, sebabnya saya telahpun menemui program affiliate yang menawarkan struktur komisen seperti itu. Saya perkenalkan, program yang dikenali dengan nama Consumerchant dari PG Mall.
Setiap orang yang mendaftar untuk menjadi pembeli atau sekadar ingin menjadi ahli di PG Mall, secara automatik akan dapat menyertai program yang dikenali dengan nama consumerchant oleh PG Mall.
Baca juga: Cara buat duit dengan PG Mall
Dalam program consumerchant PG Mall ini, ejen affiliate seperti kita dianggap sebagai salah seorang business partner buat syarikat. Mereka amat menghargai sumbangan dan peranan yang kita mainkan sebagai seorang ejen.
Apabila kita membeli produk dari platform PG Mall, kita sebenarnya menyumbangkan keuntungan (profit) kepada syarikat. Tak kiralah walau profit yang kita sumbang hanya 10 sen sekalipun.
Kemudian, apabila kita mengajak orang lain untuk menjadi ahli di PG Mall, ahli tersebut juga akan menyumbangkan keuntungan kepada syarikat.
Setiap orang ada potensi untuk memberi sumbangan dalam bentuk profit kepada syarikat, sama ada menerusi pembelian peribadi atau dengan mengajak orang lain untuk turut berbelanja di platform tersebut. Maka, tak salah lagi kalau mereka menganggap setiap ahli adalah ibarat business partner yang perlu diberi penghargaan yang tinggi.
(16) Rancang penggunaan sales funnel
Dalam bidang jualan, ada satu konsep yang kita namakan sebagai konsep sales funnel. Kalau kita terjemahkan dalam bahasa Melayu, ia membawa maksud terowong jualan, atau laluan jualan.
Konsep sales funnel ini merujuk kepada laluan atau perjalanan yang perlu dilalui oleh seorang pelanggan, sebelum dia akhirnya membuat keputusan untuk lakukan pembelian.
Lazimnya, pelanggan ini akan melalui beberapa peringkat. Misalnya
i. Peringkat dia tak tau tentang kewujudan produk
ii. Peringkat dia mula tahu pasal produk
iii. Peringkat dia mula berminat pasal produk
iv. Peringkat dia mula percaya dengan produk, penjual dan syarikat
v. Peringkat dia mula bersetuju untuk menjadi pelanggan
Situasi yang sangat jarang berlaku adalah, apabila anda memperkenalkan sesuatu produk kepada prospek, dia terus membuat pembelian pada waktu itu juga. Bukanlah saya nak kata ia mustahil untuk berlaku, cuma ia sangat jarang berlaku.
Keadaan yang biasa berlaku adalah, seseorang itu perlu melalui banyak fasa atau peringkat, seperti yang saya bincangkan diatas, barulah dia akan lebih bersedia untuk melakukan pembelian.
Oleh itu, sebagai ejen affiliate, anda perlu membuat perancangan yang rapi, apa dia peringkat-peringkat yang bakal dilalui oleh bakal pelanggan sebelum dia betul-betul yakin untuk buat pembelian. Mereka ini (pelanggan) mempunyai banyak soalan dan rasa curiga terhadap ayat-ayat pemasaran yang kita gunakan.
Untuk memecahkan rasa curiga tersebut, kita boleh hasilkan konten yang bertujuan untuk menghilangkan rasa kurang percaya tersebut.
i. Kita hasilkan artikel review
ii. Kita cerita kelebihan produk
iii. Kita tulis juga mengenai kelemahan produk
iv. Kita cadangkan juga alternatif bagi produk
Dari pengalaman saya, lazimnya kita memerlukan lebih dari satu konten untuk menjual sesuatu produk yang agak mahal harganya. Justeru, anda janganlah rasa lemah semangat kalau dari satu konten yang anda buat, ianya masih tak convert kepada jualan.
Boleh jadi sebab sales funnel anda masih tak lengkap atau belum cukup meyakinkan.
(17) Hasilkan produk review yang betul-betul memihak kepada pengguna
Menulis review adalah satu kaedah yang cukup berkesan dalam menghasilkan jualan untuk sesuatu produk ataupun perkhidmatan.
Walaubagaimanapun, saya perhatikan diluar sana terdapat dua jenis artikel review.
Pertama, review jujur dari mereka yang pernah menjadi pengguna dan pelanggan.
Kedua, review olok-olok yang ditulis semata-mata untuk membuat jualan.
Memang ada individu yang menyalahgunakan perkataan review bagi tujuan menarik golongan yang disasarkan untuk membaca konten yang telah disediakan. Pada saya, ini merupakan satu langkah yang kurang sihat, dan tak mustahil satu hari nanti orang ramai akan mula merasa alergik dengan istilah review. Kesannya, individu yang memang menulis review jujur pun akan terpalit sama.
Oleh kerana topik mengenai menulis artikel review untuk produk ini agak besar, saya tak akan menulis secara panjang lebar disini. Tapi cukuplah untuk saya ingatkan, jika anda ingin menulis artikel review, tulislah review yang jujur yang betul-betul menguntungkan dan memihak kepada pelanggan.
Kalau bagus, kata bagus.
Kalau tak bagus, nyatakan apa yang kurang bagus.
Kalau tak tahu apa-apa pasal produk, jangan mereka-reka cerita.
Kelak yang akan menanggung kerugian adalah pelanggan. Mereka ini yang membelanjakan duit untuk membeli produk yang kita review. Secara tak langsung, anda turut bertanggungjawab terhadap pembelian yang dilakukan oleh pelanggan tersebut.
(18) Bina database senarai pelanggan
Orang yang pernah beli sesuatu, sama ada beli produk yang kita jual atau produk orang lain yang kita promosikan, lazimnya individu seperti ini memang mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi kepada kita.
Mereka ini mempunyai kecenderungan untuk beli lagi, dan lagi, lain-lain produk yang kita promosikan. Sebaik-baiknya, jika anda ada kemampuan, anda patut bina satu database yang menyenaraikan kelompok individu seperti ini. Mereka ini adalah senarai emas, yang akan menjadi pelanggan berulang kepada anda.
Terpulanglah sama ada anda nak bina database dalam bentuk
i. Group telegram
ii. Group Facebook
iii. Group Whatsapp
iv. Senarai email
Sebaik-baiknya, dalam database tersebut setiap orang tak boleh berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka tak mengenali antara satu sama lain. Mereka hanya boleh berkomunikasi dengan anda sahaja, sebagai pemilik database.
Tujuannya adalah untuk mengelakkan database yang anda bina dengan susah payahnya ini di hijack oleh orang lain. Kadang-kadang kita akan temui individu yang dengan sengaja masuk dalam database yang kita bina, sebab dia beli sesuatu barang dari kita dengan tujuan nak dekati senarai pelanggan yang kita miliki.
Bila dia dah tahu dan dah kenal siapa senarai pelanggan kita, dia akan cuba pancing senarai yang kita ada dan cuba menjual kepada senarai emas kita pula. Jadi, berhati-hatilah apabila nak buat keputusan membina senarai database pelanggan nanti.
(19) Dapatkan kepercayaan dari bakal pelanggan
Bagaimana pelanggan nak membeli dari anda, jika dia tak mempercayai anda?
Memang agak sukar untuk kita cuba menjual kepada orang yang belum betul-betul mempercayai kita. Atas sebab itu, membina kepercayaan bakal pelanggan adalah antara langkah yang perlu kita lakukan dalam bidang jualan.
Untuk mendapatkan kepercayaan bakal pelanggan, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan. Salah satu cara yang saya ingin highlight disini adalah dengan menunjukkan kepakaran anda kepada bakal pelanggan. Tunjukkan yang anda memang seorang yang benar-benar pakar dalam bidang anda.
Tunjukkan bahawa anda mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh bakal pelanggan.
Tunjukkan bahawa anda adalah orang yang tepat untuk diikuti dan didengar nasihatnya.
Barulah bakal pelanggan boleh percaya kepada anda.
Elakkan menjadi seorang penjual yang hanya mampu melaungkan kata-kata seperti
i. Beli sekarang…
ii. Rebut peluang ini sementara harga promosi
iii. Harga tengah murah ni
Sebaliknya, kita kembali kepada asas dan mula melihat dari perspektif bakal pelanggan. Mereka ada masalah yang mereka perlu tanggung, dan kita pun perlulah menunjukkan empati dan kita faham masalah mereka.
Kita bercakap seperti kita betul-betul faham masalah dan keadaan bakal pelanggan, barulah mereka akan rasa lebih selesa berurusan dengan kita.
(20) Perhatikan topik yang sedang hangat dan viral
Ada sesetengah topik yang kita boleh tunggang, bagi tujuan menghasilkan konten pemasaran. Ketika ada sesuatu topik yang sedang hangat diperkatakan, kita boleh turut serta memberikan pendapat serta pandangan, jika kita memang benar-benar ada pengetahuan mengenai topik tersebut.
Sebaik-baiknya, kita hanya memberi ulasan pada topik terpilih, yang memang ada kaitan dengan niche kita. Kalau boleh janganlah jadi macam seorang individu yang setiap kali ada topik viral, mesti nak masuk campur dan cuba nak jadi hero dalam topik tersebut.
(21) Buat anggaran potensi pendapatan dari setiap konten yang anda hasilkan
Pernah tak anda buat anggaran, berapakah agaknya potensi pendapatan yang bakal anda hasilkan melalui sesebuah konten yang telah anda hasilkan?
Kalau anda pernah buat, anda memang terbaik.
Tapi kalau sebelum ini anda tak pernah buat anggaran potensi pendapatan, atau tak pernah terfikir pun untuk buat pengiraan tersebut, mungkin selepas ini anda boleh pertimbangkan untuk lakukan perkara tersebut. Saya akan jelaskan, apakah rasionalnya untuk anda berbuat demikian.
Pertama sekali, kita perlu tahu, apakah bentuk konten yang bakal anda hasilkan? Adakah konten dalam bentuk artikel, atau konten dalam bentuk video? Untuk tujuan penerangan disini, kita andaikan yang anda bakal menghasilkan konten dalam bentuk artikel.
Baiklah, sekarang mari kita lihat, dalam artikel yang anda hasilkan itu, ada berapa banyak link affiliate yang anda telah selitkan?
Katakanlah, dalam link tersebut terdapat satu link affiliate.
Berapakah komisen yang bakal anda perolehi, seandainya link tersebut di klik oleh pembaca dan seterusnya berlaku jualan?
Kita andaikan harga produk ialah RM70 dan komisen anda adalah sebanyak 50%, bermakna anda bakal memperolehi pendapatan sebanyak RM35.
Ini bermakna, untuk artikel tersebut, potensi pendapatan yang bakal anda perolehi adalah sebanyak RM35. Itupun dengan syarat jika konten yang telah anda hasilkan cukup meyakinkan hingga ada pembaca yang berminat untuk lakukan pembelian.
Kenapa perkara ini penting untuk dilakukan?
Sebenarnya perkara ini akan memberikan kesan psikologi kepada kita. Apabila kita tahu, berapa banyak potensi pendapatan yang bakal kita perolehi dari setiap konten yang kita hasilkan, ia akan memberikan impak positif dan menaikkan semangat kita untuk menghasilkan lebih banyak konten dimasa akan datang.
Artikel 1 – Potensi pendapatan RM35
Artikel 2 – Potensi pendapatan RM50
Artikel 3 – Potensi pendapatan RM10
Apabila kita campurkan jumlah keseluruhan, untuk setiap artikel yang pernah kita hasilkan sebelum ini, kita akan dapat jumlah keseluruhan. Boleh jadi selepas anda lakukan pengiraan, anda akan dapati jumlah potensi pendapatan keseluruhan yang sepatutnya anda perolehi adalah sebanyak RM23,452 sebulan.
Persoalannya, adakah anda berjaya hasilkan pendapatan sebanyak tu? Besar kemungkinan, jawapannya adalah tidak.
Sekarang mari kita buat sedikit analisa, kenapa kita tak berjaya hasilkan pendapatan seperti mana yang kita anggarkan tadi.
Jangan terkejut, anda mungkin dapati jawapannya adalah seperti berikut
i. Ada artikel yang anda tak masukkan langsung link affiliate
Saranan saya, jangan sia-siakan artikel yang ada banyak pembaca. Masukkan at least satu link affiliate.
ii. Ada artikel yang anda masukkan link affiliate, tetapi artikel tersebut dihasilkan dengan terlalu cincai.
Mana mungkin artikel yang dihasilkan terlalu ala kadar boleh convert kepada sales dan mampu berikan anda income sebanyak RM100 dari situ. Apabila anda berjaya kenalpasti masalah ini, maka anda boleh lakukan sesuatu untuk upgrade artikel tersebut.
Cuba letakkan diri anda dalam situasi bakal pelanggan. Agak-agaknya, selepas pelanggan tersebut baca konten yang anda hasilkan, dia akan rasa teruja ataupun tidak nak beli produk yang anda sarankan untuk beli?
Sepatutnya lagi banyak konten, lagi tinggi potential income. Tapi sebaliknya boleh berlaku kalau konten yang dihasilkan tak dihasilkan dengan bersungguh-sungguh. Entah-entah konten yang anda sangkakan boleh menghasilkan potential income sebanyak RM100 selama ini, rupa-rupanya hanya mampu berikan 10 sen sahaja.
(22) Sentiasa peka dengan aktiviti pesaing anda
Zaman sekarang ini sebenarnya cukup mudah untuk kita monitor apa yang dilakukan oleh pesaing kita. Sebenarnya, sebelum saya mula buat keputusan untuk hasilkan entri ini, saya sendiri ada buat semakan di laman enjin carian google bagi kata kunci “tips buat duit dengan affiliate marketing”.
Seperti yang saya jangkakan, dekat halaman pertama, langsung tak ada satupun blog saya yang tersenarai disitu. Lihat buktinya dibawah ini.
Setiap blog yang tersenarai disitu, mereka ini saya anggap sebagai pesaing saya.
Satu kelebihan yang ada pada kaedah pemasaran online, terutama sekali yang menggunakan platform blog, kita sebenarnya boleh melihat dan menganalisa, apa sebenarnya yang dilakukan oleh pesaing kita.
Kita boleh klik dan baca, konten yang bagaimana yang mereka sediakan bagi menduduki tempat yang baik di laman enjin carian Google. Bila kita dah habis baca, tugas kita seterusnya adalah menghasilkan konten yang lebih baik, lebih lengkap dan lebih padat berbanding konten pesaing kita yang sudah sedia ada menduduki halaman pertama.
Bila kita dah publish artikel versi kita, yang lebih baik berbanding artikel pesaing yang sudah sedia ada di muka surat pertama Google, pada waktu itu, biasanya artikel kita pun akan masuk ke halaman pertama, dan bermula dari situ, kita juga akan dapat pelawat atau trafik secara automatik.
Pelawat ini semua akan menyumbangkan pendapatan kepada kita dimasa akan datang. Jadi, strategi ini adalah, kita lihat apa yang pesaing kita buat, kemudian kita lawan semula dengan menghasilkan konten yang lebih baik berbanding apa yang mereka dah pernah hasilkan.
Bila kita dah tahu siapa pesaing kita, apa jenis konten yang mereka pernah hasilkan, kitapun kenalah buat konten yang lebih baik. Jangan pula nanti, bila anda dah dapat semua maklumat tersebut, anda masih lagi hasilkan konten yang bersifat ala kadar.
Kalau macam tu, bila anda nak menang dengan pesaing anda?
(23) Promosikan produk yang betul-betul related dan relevan dengan konten anda
Memandangkan strategi utama yang bakal kita gunakan adalah strategi content marketing, maka bila kita nak memilih sesuatu produk untuk dipromosikan, kita perlulah pastikan produk tersebut betul-betul relevan dan related dengan konten kita.
Kadang-kadang memang kita akan rasa teruja untuk cuba promosikan benda lain, yang tak berapa related dengan konten dan niche kita. Mungkin sebab komisen lebih tinggi, ataupun sebab atas permintaan orang lain.
Kalau keadaan yang lebih kurang sama ini berlaku pada anda, cuba tahan diri, dan ingatkan pada diri anda untuk hanya mempromosikan produk yang betul related dengan konten anda sahaja. Elakkan campur aduk produk hingga nampak macam kedai runcit.
(24) Sentiasa pantau progres dan prestasi kerja anda
Bila kita tak buat pemantauan (monitor), kita mungkin akan terlepas pandang banyak perkara.
Pertama, kita tak sedar sama ada usaha pemasaran kita selama ini berkesan ataupun tidak sebenarnya?
Kedua, kita mungkin tak nampak konten yang kita hasilkan selama ini, adakah telah berjaya dioptimasikan dengan teknik Search Engine Optimization?
Ketiga, adakah anda sedar komisen anda tak bertambah disebabkan link affiliate anda sudah bertukar menjadi broken link!
(25) Ketepikan ego, belajar juga dari orang lain
Ini merupakan satu perkara yang saya rasa penting untuk saya highlight disini.
Pada pendapat sayalah kan, proses pembelajaran ini merupakan satu proses berterusan. Setiap hari, pasti akan ada perkara baru yang dapat kita pelajari, walaupun dalam bidang yang kononnya kita dah mahir atau dah pakar. Kalau dalam konteks perbincangan kita disini, iaitu mengenai topik buat duit dengan affiliate marketing.
Saya suka baca perkongsian daripada rakan-rakan affiliate yang lain, sebab dari pembacaan tersebut, kadang-kadang saya dapat pelajari sesuatu yang baru. Almaklumlah, dalam kaedah dan teknik pemasaran affiliate ni, bukan semua ejen akan gunakan kaedah pemasaran yang sama.
Kalau ada dua orang ejen affiliate dan kedua-duanya menggunakan blog dalam pemasaran, kaedah penulisan, pemilihan niche, topik dan sebagainya juga tak sama antara satu sama lain.
Jadi, bila kita belajar untuk ketepikan ego, dan ambik ilmu dari orang lain, In Shaa Allah akan ada perkara baru yang dapat kita pelajari dan seterusnya ia dapat memberi impak positif terhadap pendapatan kita.
Minat nak upgrade ilmu affiliate marketing?
(26) Upgrade skill copywriting
Jika anda menggunakan konten dalam bentuk penulisan, anda perlu tahu bagaimana cara menghasilkan penulisan yang dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan bakal pelanggan untuk membuat pembelian.
Jika anda menggunakan video, anda juga perlu tahu menulis skrip yang perlu anda tuturkan bagi meyakinkan bakal pelanggan untuk melakukan suatu tindakan yang spesifik.
Bagaimana cara untuk melakukannya?
Jawapannya ada pada teknik copywriting.
Sudah tentu, apabila kita nak meyakinkan bakal pelanggan untuk segera melakukan pembelian, kita tak boleh bercakap secara semberono. Setiap kata-kata perlu disusun dengan rapi. Bakal pelanggan juga tak suka jika ayat yang kita gunakan kelihatan terlalu ingin menjual kepada mereka.
Penutup
Saya harapkan beberapa tips buat duit dengan affiliate marketing yang saya kongsikan disini bermanfaat untuk anda. Kebanyakkan tips yang saya kongsikan disini adalah perkara yang saya sendiri lakukan untuk mendapatkan jualan dari program affiliate yang saya sertai.
Oleh sebab ini hanyalah tips, maka saya tulis dengan seberapa ringkas yang boleh. Jika anda merasakan tips yang saya tulis dan kongsikan disini bermanfaat, silalah kongsikan link artikel ini dimedia sosial milik anda. Mudah-mudahan akan ada lagi ramai orang akan dapat manfaat dari penulisan yang saya hasilkan.
[…] ii. 26 Tips menjana pendapatan dengan affiliate marketing […]