Satu masa dulu, saya pernah beritahu pada abang saya, yang saya nak kerja sebagai seorang security guard atau pengawal keselamatan.
Saya sebenarnya tak kisah kerja apa pun. Pada saya, yang penting, ia mampu berikan pendapatan yang halal.
Anda pernah tengok iklan kerja kosong untuk posisi pengawal keselamatan? Kalau tak pernah tengok, ini saya nak tunjuk iklan kerja kosong yang saya ambil dari laman web ini.
Sebagai pengawal keselamatan, gaji yang boleh diperolehi adalah dalam anggaran RM1,200 – RM1,800 sebulan. Saya fikir, gaji ini mungkin berbeza mengikut pengalaman yang kita ada. Kalau pengalaman banyak dan memang tau buat kerja, majikan ini tak ada masalah untuk bayar gaji lebih tinggi.
Kita lihat pula apa skop atau bidang tugas yang perlu dilakukan jika kita memohon kerja ini.
- Menyambut tetamu semasa ketibaan dan berlepas, memberikan bantuan kepada kakitangan meja depan.
- Membantu menjaga kawasan lobi dengan bersih dan teratur.
- Pastikan bagasi tetamu disimpan dengan selamat mengikut prosedur yang ditetapkan.
- Memberi perkhidmatan dengan penuh perhatian dan mesra.
- Mengawal keselamatan di dalam dan di luar hotel. Semak kunci keselamatan dan penggera pada pintu dan tangga.
Saya rasa kerja yang perlu dilakukan tak susah.
Sudah pasti, nanti bila kita dah mohon kerja ini, kita juga akan diberikan latihan untuk memantapkan lagi perkhidmatan dan mutu kerja kita.
Tapi, bila saya kata nak jadi pengawal keselamatan, saya bukannya nak jadi pengawal keselamatan yang kerja di lobi hotel mahupun yang kerja meronda di shopping mall tu. Saya nak jadi pengawal keselamatan yang bertugas di guard house atau guard post sahaja.
Duduk satu tempat sahaja. Sambil memerhatikan dan menjaga keselamatan kawasan sekeliling.
Kenapa saya tertarik dengan kerja macam ni (pada waktu tu)?
Saya selalu jumpa, pengawal keselamatan yang kerja dalam pos pengawal, tidur dalam tu. Masa kerja, boleh ke tidur?
Sudah tentulah jawapannya tak boleh. Kita kalau dah diberi tugas untuk buat sesuatu perkara, kenalah buat dengan betul-betul. Tak boleh bagi alasan untuk culas dalam bekerja.
Hakikatnya, itu yang selalu saya temui.
Kalau kerja sebagai pengawal keselamatan, boleh tidur dalam pos pengawal, dan tak ada sebarang tindakan tatatertib, kalau macam tu saya nak juga kerja macam tu.
Sambil bekerja saya boleh membaca
Ya, saya suka membaca. Tapi faham-faham je la… membaca ni memerlukan masa yang banyak. Kalau nak habiskan satu buku, memang perlukan masa berhari-hari, lebih-lebih lagi kalau kita memang sibuk dengan kerja-kerja lain.
Tapi bila tengok ada orang kerja sekuriti, nampak macam tak sibuk, siap boleh tidur lagi… saya rasa saya boleh buat kerja tu. Sambil kerja, saya baca buku. Kalau sehari boleh baca satu buku, saya rasa dalam sebulan saya boleh jadi seorang pengawal keselamatan yang sangat berilmu.
Kalau perlu meronda sekalipun, boleh bawa sekali buku bersama.
Sambil kerja saya buat kerja-kerja online
Kemudian, saya pasang angan-angan yang baru.
Kalau dapat kerja sekuriti ini, saya nak bawa laptop dan moderm internet. Sambil kerja, saya nak online. Saya nak online bukan sebab nak layan facebook atau media sosial, tapi sebab saya nak buat kerja-kerja online saya.
Kiranya macam buat dua kerja dalam satu masa.
Cukup bulan, saya boleh dapat gaji dari kerja sekuriti yang saya buat, dan dapat juga duit komisen dari kerja dan bisnes online yang saya buat. Walaupun kerja sekuriti ini mungkin gajinya tak banyak mana, tapi kekurangan itu boleh saya tampung dengan bisnes online.
….
……
Tapi tu la… bila saya kata saya nak kerja sekuriti, abang saya yang kerja sekuriti juga di shopping mall terus bantah. Dia kata, kerja tu tak sesuai dengan saya, dan setiap alasan yang saya bagi, kenapa saya nak kerja sekuriti itu langsung tak boleh pakai.
Nasihat yang dia bagi pada saya waktu tu…
Kena ingat, kerja sebagai pengawal keselamatan, memerlukan kita untuk sentiasa fokus dan bijak menduga sebarang masalah yang mungkin terjadi, sebelum ia betul-betul terjadi. Contohnya, masa buat rondaan, nampak ada tumpahan air, jadi kena segera laporkan supaya bahagian pembersihan dapat segera buat kerja.
Sebelum ada orang ramai yang jatuh tergolek, sebagai pengawal keselamatan perlu ada dilokasi dan jaga kawasan itu bagi elakkan berlaku sebarang kemalangan sampailah tempat tu betul-betul selamat.
Walaupun saya banyak tengok contoh yang tak berapa baik, melibatkan pengawal keselamatan, ia tak sepatutnya dijadikan satu motivasi untuk pilih kerja tu.
- Nak kerja sekuriti sebab boleh duduk saja.
- Pilih kerja sekuriti sebab boleh tidur.
- Sebab senang, tak perlu nak fikir sangat.
Itu SALAH.
Bekerja kena ikhlas. Ingat lagi kan, bahawa dalam Islam, kerja itu satu ibadah. Kalau kerja atas sebab yang salah, macam mana ia nak diterima sebagai satu ibadah?
Lagi satu, setiap orang ada haknya.
Kita selaku pekerja ada hak.
Majikan kita juga ada hak.
Apabila kita setuju nak jadi pekerja, maka kenalah berikan hak majikan kita. Waktu kita bekerja dengan majikan, kita buat kerja kita dengan betul. Bukannya terpesong dengan hal-hal lain yang tak ada kena mengena dengan bidang tugas. Gaji tu, kena jaga untuk pastikan ianya berkat.
Bila kena ceramah macam tu, saya terus lupakan hasrat saya nak jadi pengawal keselamatan. ha ha
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.