Satu masa dulu, saya juga pernah kerja dengan orang dan kerja di pejabat. Seingat saya, kehidupan seperti itu, bertahan kira-kira 3 atau 4 tahun sahaja.
Lepas tu, saya mula rasa bosan bila kerja pejabat. Setiap hari, rutin harian lebih kurang sama. Masuk kerja jam 9.00 pagi. Pukul 1.00 petang keluar rehat, lepas tu kena sambung kerja dari jam 2 sampai jam 6 petang.
Sebelum balik, kena singgah surau dulu untuk solat asar. Untuk mengelak daripada terpaksa bersesak-sesak di stesen LRT, kadang-kadang saya akan stay back di ofis. Cuba siapkan kerja mana-mana yang patut. Supaya esok bila masuk ofis, beban kerja akan berkurang.
(sebenarnya kerja tak pernah habis)
Biasanya lepas solat Asar, saya akan balik ke tempat saya. Dekat situ, saya akan sambung kerja, dan sambil-sambil tu saya akan online media sosial, baca blog dan sebagainya.
Sambil-sambil tu, tunggu masuk waktu solat fardhu Maghrib dan mungkin sebelum balik rumah kena singgah dulu kedai makan. Kalau bos tahu yang saya masih belum balik lagi, biasanya dia akan panggil masuk bilik dia, bersama dengan staf lain untuk buat perbincangan tentang sebarang masalah yang timbul.
Tak kisahlah sama ada kita tahu pasal projek yang dibincangkan atau tidak. Oleh sebab waktu tu saya masih baru, jadi melalui proses perbincangan ini, saya dapat belajar macam mana staf yang lebih senior merancang tindakan untuk jalankan sesuatu projek.
Kalau projek tu kurang berjaya, saya juga dapat lihat bagaimana proses brain storming dilakukan bagi mendapatkan jawapan untuk masalah yang timbul.
Situasi ini berterusan, saban hari, saban minggu. Kadang-kadang otak rasa jammed bila terpaksa memproses corak hidup yang sama.
Saya kira, mungkin kehidupan seperti ini sebenarnya tak begitu serasi dengan jiwa saya.
Bila ada masa, saya cuba terokai peluang baru. Waktu cuti, saya manfaatkan untuk cari maklumat tentang kerja-kerja sambilan yang boleh dilakukan dari rumah. Sebahagiannya saya pernah cerita dalam posting sebelum ini.
Baca: Kerja sambilan dari rumah yang boleh dipercayai
Kerja dari rumah memang langsung tak glamour
Kebanyakkan kerja yang saya cuba, memang langsung tak glamour. Mungkin, kalau boleh saya katakan, kebanyakkan kerja yang saya buat tu, adalah kerja-kerja yang orang tak minat nak buat. (agaknya…)
Maklumlah kalau nak bandingkan dengan kerja di pejabat, dengan baju kemeja, tali leher, dan kadang-kadang pakai blazer, sudah tentu kerja pejabat nampak lagi smart.
Bila saya bandingkan dengan kerja dari rumah, alahai jauh betul bezanya. Kerja dari rumah tu pun, adakalanya saya buat ketika jauh malam. Waktu orang lain tengah syok tidur, saya terpaksa sibukkan diri dengan beberapa projek yang saya kira satu hari nanti akan dapat mengubah hidup saya.
Tak apalah, saya anggap ini pengorbanan yang saya perlu lakukan, bagi mengubah kehidupan yang perlu saya lalui. Setiap hari, saya akan peruntukkan sekitar 1 atau 2 jam untuk buat kerja-kerja online.
Walaupun bukan semua kerja yang saya buat ketika itu membuahkan hasil, namun saya dapat belajar banyak benda. Kalau strategi A tak berjaya hasilkan pendapatan, maknanya ada kesilapan dan kesalahan yang saya dah buat disitu.
Saya perlu buat sesi brainstorming, kenapa kerja yang saya buat itu tidak mendatangkan sebarang hasil.
Seandainya kerja tersebut berjaya dapat bayaran, saya akan buat brainstorming juga bagi mengenalpasti, apa tindakan yang telah saya buat sehingga berjaya hasilkan result yang begitu baik. Bila dah tahu, apa yang perlu buat, dan apa yang jangan buat, saya dapat buat satu SOP (standard operating procedures) bagi memastikan saya akan sentiasa dapat hasilkan pendapatan.
Politik di tempat kerja
Politik pejabat ni memang wujud. Ia bukannya politik seperti kawan ni sokong PAS, kawan ni orang UMNO dan sebagainya.
Tapi politik dipejabat lebih kepada politik bagi meraih perhatian dan kasih sayang seorang bos. Kononnya kalau bos sayang, kita akan lagi mudah naik pangkat, naik gaji, beban kerja makin kurang dan sebagainya.
Ada juga sesetengah individu, yang main politik pejabat sebab mahukan pengaruh. Dia tak nak ada orang lain yang lebih baik dari dia, jadi dia kempen supaya semua orang benci orang yang dia tak suka. Siapa yang tak kuat dan tak tahan dengan budaya politik macam ni, kesudahannya memang akan berhenti kerja.
Bukan ke lebih baik kalau datang kerja tu sebab nak bekerja? Bukannya sebab nak main politik, nak buat benda senang dan sebagainya. Manusia ni kan… memang macam-macam ragam dia.
Bolehkah anda buat duit apabila bekerja dari rumah secara part time?
Apa yang membezakan antara kerja part time dengan kerja full time?
Saya berpendapat, bezanya hanya dari segi masa sahaja. Kalau kerja full time, kita biasanya akan peruntukkan masa kita sekitar 8 ke 10 jam untuk bekerja.
Sebaliknya, kalau kerja part time, kita mungkin hanya dapat berikan 1 atau 2 jam sahaja. Kalau waktu cuti, masa tu bolehlah kita kerja lebih masa. Kita tambahkan jam bekerja, daripada 2 jam mengikut kebiasaan, kepada 8 jam. Itupun kalau mampu, dan kalau waktu tu tak ada aktiviti lain.
Masa yang kita ada, tak kanlah semuanya nak digunakan untuk bekerja. Kita pun ada keluarga, dan kawan-kawan juga kan. Sesekali, kena hidup bermasyarakat dan bercampur juga dengan orang.
Menjadi persoalan yang sangat penting adalah, adakah kita mampu untuk hasilkan pendapatan dalam usaha kita bekerja secara sambilan tu?
Tak kiralah sama ada pendapatan yang berjaya kita hasilkan tu, banyak atau sikit, dalam matawang RM mahupun USD, apa yang kita nak tahu ialah, adakah usaha kita itu membuahkan hasil!
Saya percaya, pada peringkat permulaan, kita kena buktikan terlebih dahulu, yang kita memang ada keupayaan untuk menjana pendapatan apabila bekerja sendiri dari rumah.
Bila dah terbukti apa yang kita usahakan itu memang boleh buat duit, barulah kita bergerak ke fasa seterusnya iaitu, macam mana nak menggandakan lagi pendapatan yang telah dihasilkan.
Satu kesilapan lazim yang sering terjadi pada orang yang baru nak bermula ialah, mereka terlalu fokus pada potensi pendapatan ribuan ringgit yang bakal dihasilkan, tanpa membuktikan terlebih dulu yang anda mampu untuk hasilkan RM100 yang pertama.
… ataupun pada waktu saya baru nak bermula dulu, kita fokus untuk dapatkan RM1 yang pertama, apabila baru nak bermula.
Pastikan pendapatan yang dihasilkan adalah konsisten
Pastikan pendapatan yang bakal anda hasilkan nanti bukannya bersifat one off. Apa maksud one off?
Maksudnya lepas anda dapat sekali, lepas tu dah tak dapat lagi. Ataupun kalau dapat sekalipun, laaaaaaaama sangat nak tunggu. Kalau pendapatan anda masih lagi berada pada tahap macam ni, kejap ada kejap tak ada, kejap sales masuk, kejap sendu, bermakna anda masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan bagi membolehkan anda bebas dengan kerja harian anda.
Serius, kalau pendapatan anda masih tak menentu, anda tak sepatutnya buat keputusan drastik untuk berhenti kerja dan fokus pada kerja-kerja online dari rumah secara full time. Melainkan anda yakin dan sebenar-benar yakin, bahawa apabila anda memberikan sepenuh masa pada kerja anda nanti, anda akan mampu hasilkan pendapatan yang konsisten.
Bercakap dari sudut pengalaman sendiri, dulu masa saya kerja dengan orang, income saya dari kerja-kerja online juga tak begitu banyak. Tapi setelah saya fokus pada kerja ini sahaja (sekarang buat full time) memang nampak ketara pertambahan pendapatan tu.
Perubahan iklim dan ruang kerja yang ketara
Perubahan itu adalah sesuatu yang perlu kita jangkakan apabila ingin bekerja sendiri dari rumah. Ada banyak perubahan yang kita perlu siap sedia, kalau serius nak berjaya atau setidak-tidaknya ingin bertahan lama dalam bidang ini.
Rakan sekerja
Anda boleh ucap selamat tinggal kepada rakan sekerja. Biasanya kalau baru nak bermula, kita tak akan ada rakan sekerja. Kita bekerja sendiri dan seorang diri.
Cara kerja
Kalau anda selesa kerja 9 pagi hingga 6 petang seperti waktu pejabat, anda boleh teruskan. Dulu, saya lebih selesa kalau dapat kerja pada jam 12 tengah malam hingga ke Subuh. Waktu ini, saya rasa saya lebih tenang, lebih kreatif dan lebih banyak idea.
Siang hari, saya membuta. (Mungkin ini yang buatkan orang rasa bengang je, padahal dia tak tau, waktu dia tengah tidur, kita tengah sibuk bekerja. Ibarat macam kita ni kerja syif malam)
Cara hidup
Orang ramai akan mula lihat kita sebagai seorang yang tak bekerja, unemployed, tak berguna dan macam-macam lagi. Hakikatnya mereka tak tahu, bahawa walaupun nampak seperti tak bekerja, itu tak bermakna kita ni tidak mempunyai sumber pendapatan.
Komitmen kerja
Kita pekerja dan pada masa yang sama kitalah bos. Tak ada orang lain yang akan marah kita, kalau kita lambat atau malas buat kerja. Tapi awas, sikap malas akan dihukum dengan tiada pendapatan ataupun tiada klien yang minat nak berkolaborasi dengan kita.
Emosi
Waktu ini emosi kena kuat. Akan ada banyak persoalan yang diajukan kepada kita, yang kita sendiri kadang-kadang malas nak jawab.
Ko tak nak cari kerja lain ke?
Cuti memanjang ni, dah banyak duit ke?
Macam-macam yang akan kita hadapi. Sebenarnya, kita tak ada tanggungjawab untuk berikan penerangan kepada orang-orang yang bertanya ni. Lagipun, kita bekerja bukannya untuk mereka ni. Asalkan kita cukup makan, ada sedikit harta, dan setiap orang yang menjadi tanggungan kita hidup dalam serba cukup, bukankah itu sudah cukup baik?
Seterusnya terpulang pada kita untuk urus hidup dan kewangan kita. Saya dah mula lali dengan soalan-soalan penyibuk dari orang sekeliling, seolah-olah kita berhutang hidup pula dengan mereka ni. Tak perlu jawab pun sebenarnya.
Apa kerja yang saya buat?
Setelah bercerita begitu panjang lebar, tentang pengalaman saya bekerja sendiri dari rumah, bermula dengan kerja part time, hinggalah sekarang ini, mungkin ada yang nak tahu, apa sebenarnya kerja yang saya buat?
Sesetengah orang, melihat kerja saya sebagai seorang penulis blog, atau blogger.
Saya pula tak suka orang panggil saya sebagai blogger, sebab pada saya, saya bukan blogger, saya adalah seorang copywriter.
Tapi bila saya kata saya copywriter, orang jadi makin konfius dengan apa kerja saya, dan mereka nak tahu apa beza seorang blogger dengan seorang copywriter.
Sekarang ini, saya lebih selesa kalau ada yang tanya apa kerja saya, saya akan kata yang saya kerja sebagai seorang marketer. Saya adalah seorang Internet Marketer.
Besar ke gaji seorang internet marketer atau marketer?
Seorang marketer macam saya ni, biasanya dibayar mengikut komisen. Kalau nak banyak duit kena banyak buat jualan.
Katakanlah, kalau upah hasil daripada satu jualan ialah RM40, maka kalau nak upah yang lebih besar, kenalah buat banyak-banyak jualan.
Ada juga komisen yang saya terima, nilainya agak besar, iaitu RM100 untuk setiap jualan yang berjaya dihasilkan. Ini buktinya.
Dapat 10 jualan dalam sebulan pun pada saya dah cukup memadai. Ini hanya dari satu syarikat, dan kalau anda nak tahu, saya bukannya bekerja untuk satu syarikat ini semata. Ada banyak lagi syarikat yang saya sertai.
Saya bebas untuk bekerja dengan seberapa banyak syarikat yang saya mahukan. Itulah satu lagi kebebasan yang saya nikmati.
Baiklah, saya rasa dah cukup panjang perkongsian kali ini. Saya harap semoga pembaca yang ikuti perkongsian saya ini, akan dapat serba sedikit manfaat.
Mulakanlah secara part time dulu, dan In Shaa Allah satu hari nanti, mungkin anda juga akan fokus pada kerja-kerja dari rumah secara online untuk sepenuh masa. Pada waktu itu, kita dah boleh ucapkan selamat tinggal kepada kerja di pejabat dan pecat bos kita sendiri.
Semoga tuan dimurahkan rezeki. walaupun apa pekerjaan yang dibuat.
Terima kasih en faizal 🙂